Gerakan Kemanusiaan Hentikan Jenayah Kemanusiaan Israel

Gerakan Kemanusiaan Hentikan Jenayah Kemanusiaan Zionis Israel

zulkiflihasan.com

Beberapa minggu lepas, kami mendapat berita pelajar Ph.D berasal Palestin yang baharu menamatkan pengajian di USIM dan pulang ke Gaza bahawa rumahnya telah dibom dan kesemua 20 ahli keluarganya terbunuh termasuk dirinya, isteri dan anak-anaknya. Berita ini adalah sebahagian daripada kisah tragis rakyat Palestin yang saban tahun dibunuh dan dihujani bom dan peluru oleh Israel. Sehingga kini sejak 7 oktober 2023, angka kematian rakyat Palestin meningkat kepada lebih 9000, kecederaan lebih 21 ribu dan lebih sejuta hilang tempat tinggal sekelip mata. Bukan itu sahaja, Israel telah mengebom gereja ortodoks yunani ketiga tertua di dunia iaitu Church of Saints Porphyrius. Israel dengan sombong menyerang kem pelarian dan Hospital mengakibatkan ribuan kematian. Menteri Pendidikan Gaza akhirnya telah mengistyiharkan sesi persekolahan 2023 telah tamat kerana ribuan pelajar telah syahid.

Israel juga dengan begitu kejam menggunakan bom fosforus putih yang diharamkan undang-undang antarabangsa yang mana ia boleh menyebabkan kecederaan serta-merta pada paru-paru, jantung, hati dan buah pinggang, selain berupaya melecurkan kulit serta otot manusia mengakibatkan kesakitan sepanjang hayat. Lebih dahsyat lagi, Israel hingga kini telah menggugurkan lebih 25,000 tan bom ke atas bumi Gaza yang hanya bersaiz separuh SIngapura dengan 2.3 juta penduduk iaitu melebihi bilangan bom digunakan sepanjang perang Iraq atau Afghanistan  seperti yang dilaporkan oleh Euro-Med Human Rights Monitor .

Isu Palestin ini melangkaui akidah, agama atau geopolitik dan ia merupakan soal kemanusiaan. Israel telah berulang kali dan serius melakukan jenayah kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa dengan penuh kesombongan dan kebongkakan. Direkodkan Israel telah melanggar 28 Resolusi United Nations Security Council dan pelbagai undang-undang antarabangsa secara konsisten. Israel telah membuat penempatan haram melanggar U.N. Charter, Article 2(4) & 51 (1945). Illegal occupation 1948 1967 dan juga Geneva Conventions IV, Article 49(6) illegal occupation. Israel terlibat dalam jenayah perang penghapusan etnik melanggar Geneva Convention IV, Articles 45, 46 & 49 (1949) ethnic cleansing. Bukan itu sahaja, Israel mengamalkan dasar apartheid menyalahi International Convention on the Suppression and Punishment of the Crime of Apartheid (1976). Apartheid dan U.N. Charter, Article 1 (1945); Declaration on Principles of International Law Concerning Friendly Relation, Principle 5 (1970).

Kajian dijalankan International Court of Justice dan organisasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa mendapati bahawa Israel telah mencabul hak asasi manusia secara konsisten termasuk penyeksaan, penangkapan tanpa bicara, rampasan tanah, penempatan haram dan sebagainya. Bahkan pada 2004, International Court of Justice telah memutuskan bahawa tembok pemisah Israel adalah haram. Apa yang lebih memualkan ialah walaupun dengan pelbagai jenayah kemanusiaan, Israel tetap menerima bantuan kewangan berbillion dollar termasuk sokongan ketenteraan Amerika Syarikat. Bahkan, Amerika telah menggunakan kuasa veto sebanyak 43 kali (daripada semua 83 kali veto digunakan negara kuasa veto sepanjang sejarah UN) untuk mempertahan dan melindungi Israel.

Peristiwa 7 Oktober 2023 yang digelar Taufan al-Aqsa adalah sangat signifikan. Buat pertama kalinya, pejuang Hamas berjaya memasuki Israel dari Gaza untuk bertempur dengan rejim zionis. Serangan ini bukanlah pemula peperangan kerana ia adalah tindak balas fitrah manusia apabila mereka ditindas, dizalimi dan hak asasi dirampas. Konflik Israel-Palestin sebenarnya bermula sejak 1948 dengan penubuhan negara haram Israel dengan restu British. Tahun 1948 menyaksikan Israel telah membunuh lebih 15 ribu, memusnahkan lebih 500 desa dan kota, mengusir lebih 750 ribu rakyat Palestin dan zionis Israel telah berjaya menguasai 78% wilayah Palestin. Setelah peristiwa berdarah ini, Israel telah berterusan melanggar hak asasi manusia, merampas secara haram tanah Palestin dan melakukan penghapusan etnik secara sistematik sehingga hari ini.

Bermula 1993, setelah termeterai Oslo Accords, Israel terus menguasai Palestin termasuk Gaza. Israel telah membina temboh pemisah Apartheid dan mengawal Gaza ibarat penjara terbuka terbesar di dunia. Sejak itu, Israel telah menyerang Gaza termasuk Tebing Barat serta menceroboh masjid al-Aqsa secara berterusan. Malahan, perancangan jahat Zionis Israel ini didedahkan oleh Anthony Lowenstein seorang wartawan antarabangsa dalam bukunya the Palestine Laboratory. Anthony Lowenstein mendedahkan bahawa Israel menjadikan Palestin sebagai makmal ujian teknologi senjata mereka. Serangan Israel ke Gaza yang menggunakan teknologi senjata ciptaan mereka dijadikan video promosi untuk melariskan dan memasarkan teknologi senjata.

Genocide atau Pembunuhan Beramai-ramai dilakukan Israel adalah luar biasa mencapai satu tahap yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah umat manusia. Berbeza dengan genocide yang dilakukan sepanjang sejarah dunia, Pembunuhan Beramai-ramai dilakukan Israel dibuat secara terbuka dan terang-terangan disaksikan seluruh umat manusia secara langsung dan mendapat restu negara-negara besar di United Nation serta sokongan beberapa pemimpin dunia tanpa segan silu dan tidak berperikemanusiaan. Segenap lapisan masyarakat pelbagai bangsa seluruh dunia menyaksikan secara langsung Israel meratah anak-anak kecil, wanita tidak berdaya, menghancurkan tempat tinggal, hospital, kem pelarian, sekolah, masjid, gereja dan sebagainya.

Apa yang sangat diperlukan waktu ini adalah kesatuan dunia Islam dan sokongan komuniti antarabangsa untuk membela Palestin atas dasar kemanusiaan dan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat. Timbul pelbagai persoalan apakah yang boleh dilakukan untuk membantu Palestin waktu ini? Gerakan kemanusiaan melangkaui agama, ideologi, bangsa dan latarbelakang perlu digembleng untuk menghentikan jenayah kemanusiaan dilakukan rejim zionis Israel. Kita dapat menyaksikan demonstrasi solidariti kemanusiaan memperingati Palestin di seluruh dunia termasuk negara barat dan majoriti bukan Islam. 

Secara umumnya, bantuan ketenteraan mungkin antara yang perlu difikirkan dalam waktu getir sekarang ini. Malahan Kesatuan Ulama Antarabangsa yang diasaskan oleh almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa bahawa wajib untuk membantu sedaya upaya rakyat Palestin daripada kezaliman rejim zionis Israel. Namun, diakui sebarang penetapan bantuan ketenteraan pastinya akan memberikan kesan besar kepada negara yang terlibat lebih-lebih lagi Israel mendapat perlindungan Amerika Syarikat dan sekutunya Eropah. Selain itu, rejim Zionis Israel boleh di bawa ke muka pengadilan ke International Criminal Court dan disabitkan dengan kesalahan jenayah perang. 

Dalam konteks masyarakat awam, penulis ingin mengajak semua untuk mencetuskan gerakan kemanusiaan menerusi kesedaran dan pencerahan isu Palestin serta mendedahkan secara agresif jenayah perang Israel termasuk pendustaan dan penipuan mereka selama ini. Masyarakat perlu meningkatkan aktivisme dan advokasi serta solidarity isu Palestin di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa secara sistematik dan berimpak. Selama ini didapati, Israel berjaya mengaburi mata dunia termasuk memalsukan sejarah dengan liputan berita berat sebelah dan palsu didominasi media pro-Israel seperti CNN, BBC dan Fox News. Berita palsu seperti bayi dipancung kepala dan wanita dirogol dan sebagainya sentiasa cuba dimainkan untuk menagih simpati dan ‘play victim’. Israel sangat bimbang dengan pendedahan jenayah mereka dan direkodkan sejak tahun 2000 Israel telah membunuh lebih 55 wartawan antarabangsa yang cuba membuat liputan dan mendedahkan kebenaran Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan mencabul hak asasi manusia. Pada 2022, Shireen Abu Akleh, wartawan al-Jazeera ditembak mati tepat di muka semasa membuat liputan keganasan Israel di Tebing Barat.

Palestin kini menghadapi krisis kemanusiaan yang getir dan kritikal. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menghulurkan bantuan dalam apa sahaja bentuk sama ada kewangan, ubat-ubatan, pakaian, makanan dan keperluan asas yang lain. Tidak dapat dibayangkan dalam suasana lebih 1 juta hilang tempat tinggal, tiada bekalan elektrik dan air, sekatan makanan dan bantuan oleh Israel dihujani bom dan peluru setiap hari keadaan kehidupan rakyat Palestin ketika ini. Dalam konteks Malaysia, Global Peace Mission Malaysia menerusi MyAqsa Defenders gabungan lebih 40 badan bukan kerajaan telah mengusahakan Ops Ihsan Misi Penghantaran Bantuan ke Palestin. Semua pihak boleh menyalurkan bantuan menerusi gabungan ini yang mendapat sokongan dan naungan kerajaan Malaysia.

Selain itu, marilah kita semua sekurang-kurangnya menitipkan doa untuk Palestin memohon pertolongan dan perlindungan Allah swt agar Palestin bukan sahaja menerima bantuan dan sokongan tetapi menuju kemenangan ke arah pembebasan Palestin. Palestin punya HARAPAN sekiranya dunia Islam semuanya kembali Bersatu dan disokong oleh komuniti antarabangsa. Jangan biarkan Palestin berjuang bersendirian dan jangan biarkan mereka menderita berseorangan. Semoga Allah melindungi dan memelihara seluruh warga Palestin dan menghancurkan pengganas zionis Israel dan sekutunya. Sesungguhnya kebebasan Palestin akan menjadi pelengkap kebebasan dan tonggak keamanan dunia sepertimana nukilan Nelson Mandela “Our freedom is incomplete without the freedom of the Palestinians”.

 

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support