Malaysia Madani Mendepani Cabaran Era Pasca Normal
Senator Dr. Zulkifli Hasan
Di kala kesibukan dan jadual yang padat, saya sempat meluangkan masa mengunjungi the Postnormal Times MADANI Exhibition (Pameran MADANI Pasca Normal) di Berjaya Times Square. YAB Perdana Menteri sendiri menyaran dan menggalakkan semua untuk mengunjungi dan memahami Pameran ini. Saya meneliti dan mendengar penerangan oleh sahabat saya Scott Jordan, Centre for Postnormal Policy and Futures. Saya memperuntukkan satu jam untuk menekuni bahan pameran termasuk video dan menelusuri setiap sudut pameran yang sangat menarik. Pameran ini menawarkan kefahaman zaman pasca normal dalam bentuk pedagogi menerusi ekspresi seni menampilkan suatu kelainan.
Saya merumuskan bahawa Pameran MADANI Pasca Normal ini adalah sangat baik dan penting. Bahkan pameran ini dapat memberikan penjelasan dan pencerahan betapa signifikannya agenda Malaysia MADANI dalam konteks dunia yang pantas berubah dalam era pasca normal. Keseluruhan bahan dan pameran disusun atur dengan kemas menjelaskan era pasca normal secara sistematik dan mudah untuk difahami. Sedia atau tidak, era pasca normal sudah pun berlaku dan kita semua berada dalam realiti pasca normal itu sendiri yang amat berbeza dengan era Klasik (1920-1950), Moden (1950-1980) dan Pasca-moden (1980-2005). Zaman pasca normal juga berbeza dengan pasca-industri, pasca-ideologi dan pasca-liberal. Sebagai contoh pada 2006, buat pertama kali ‘google’ telah menjadi kata kerja yang ditambah dalam kamus Merriam-Webster dan ini merupakan antara petunjuk awal bermulanya era pasca normal.
Bagi memahami pasca normal, ia mesti dimulakan dengan memahami apa yang telah terjadi dan berlaku pada hari ini. Dunia menyaksikan beberapa fenomena baharu yang belum pernah berlaku dalam skala yang besar dan kompleks merangkumi Pasca Kebenaran (Post-Truth), Revolusi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Campuran Genetik, Malapetaka Iklim, Pandemik, Tatakelola Usang. Fenomena pembohongan dan pemalsuan maklumat dalam dunia digital kini menjadi cabaran utama. Revolusi Kecerdasan Buatan pula digunakan untuk memanipulasi orang lain seperti dalam genosid dan pembunuhan beramai-ramai oleh Zionis Israel di Gaza dan Rafah.
Antara ciri penting zaman pasca normal adalah perubahan. Perubahan yang berlaku dalam zaman pasca normal bukan lagi perubahan biasa tetapi ia melibatkan perubahan dengan kelajuan, skop, skala dan keserentakan yang luar daripada kebiasaan. Perkembangan teknologi menyaksikan kepantasan perubahan dalam banyak aspek termasuk kehidupan seharian. Krisis kemanusiaan yang berlaku di era pasca normal akan berkembang dengan skala yang lebih besar berikutan faktor perubahan iklim termasuk ketegangan geo-politik dan kecanggihan teknologi persenjataan. Malaysia juga akan menerima kesan ini berikutan pelarian dari negara serantau dan dunia seperti Myanmar, Syria, Palestin, Iraq dan lain-lain yang menjadikan Malaysia antara destinasi mereka.
Perubahan era pasca normal ini menghasilkan fenomena keberantakan (chaos), kerumitan (complexity) dan kesalingcanggahan (contradictions). Fenomena ini menyebabkan kekaburan dan menerbitkan kesukaran masyarakat untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Akibat ledakan media sosial seperti tiktok, facebook, Instagram, twitter dan sebagainya membuatkan sangat sukar untuk menapis dan mengawal maklumat yang tersebar di kalangan masyarakat. Orang ramai mudah terpengaruh dan tertipu dengan pelbagai maklumat palsu yang boleh mencipta ketidaktenteraman dan kekeliruan dalam masyarakat. Antara yang menarik tetapi membimbangkan adalah trend dan kecenderungan politik yang semakin ketidaktentuan. Sebagai contoh antara 2016-2022, Malaysia melalui episod ketidakstabilan politik dengan pertukaran lima Perdana Menteri dan kerajaan. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Bukan itu sahaja, dunia juga menyaksikan kebangkitan facism (far-right, ultranationalist, authoritarian) hatta di Eropah yang sebelum ini pernah berperang menolak ideologi ini.
Melihatkan kesemua realiti dan fenomena era pasca normal, kita memerlukan satu kerangka dan pendekatan baharu untuk mengemudi Malaysia. Malaysia memerlukan pendekatan yang holistik, inklusif dan meraikan kepelbagaian yang berasaskan Nilai. Segala permasalahan, cabaran, isu dan kecelaruan yang berlaku adalah kerana krisis Nilai. Rasuah, berita palsu, ekstremisme, fitnah, jenayah, pencemaran, salahguna kuasa, penyelewengan agama dan kemusnahan alam sekitar kesemuanya berlaku akibat daripada hilang dan luputnya Nilai. Hanya dengan mengembalikan Nilai dalam sistem politik, sosial, ekonomi dan pendidikan yang akan dapat menjamin kesejahteraan dan kemakmuran.
Maka dengan itu, Malaysia MADANI merupakan satu kerangka dasar dan pendekatan menyeluruh yang boleh membantu untuk mengemudi Malaysia di era pasca normal. Setiap Rukun MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan adalah saling berkaitan dan perlu-memerlukan bagi menjadi teras dan dasar kepada perubahan yang diaspirasikan. Rukun MADANI adalah bersifat inklusif, sejagat dan ‘universal’ bersesuaian diaplikasikan sebagai polisi dan dasar di setiap peringkat dan lapisan. Penghayatan dan pelaksanaan Rukun MADANI ini bakal menjadi penentu kepada Malaysia untuk mendepani masa depan yang gemilang.