Sambutan Maulidur Rasul Menerusi Pembudayaan Ilmu
Setiap tahun bersamaan dengan 12 Rabiulawal seperti kebiasaannya ada umat Islam yang menyambut Maulidur Rasul bersempena memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW yang kita kasihi. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa tarikh kewafatan Rasululullah SAW juga berlaku pada 12 Rabiulawal iaitu pada 11 Hijrah/632M seperti yang diriwayatkan oleh sebahagian besar ahli sejarah. Manfaat juga untuk dikongsikan di sini bahawasanya kebanyakan ahli sejarah pada zaman sahabat dan tabiin yang meriwayatkan kisah dan kehidupan Rasulullah SAW merupakan pakar dalam ilmu hadis.
Di kala umat Islam menempuhi pelbagai cabaran dengan beberapa isu yang sangat signifikan diikuti dengan krisis dan konflik yang berlaku di dunia Islam, penulis ingin mengajak semua untuk mengingati dan menghayati sirah Rasulullah SAW bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul tahun ini. Tahun 1445-1446H menyaksikan pelbagai peristiwa yang begitu menguji umat Islam ditambah dengan krisis kemanusiaan yang berlaku di Gaza. Mungkin ini semua adalah sebahagian daripada ujian kepada kita semua umat Islam yang selalu alpa menghayati dan melaksanakan ajaran al Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Apalah gunanya menyambut Maulidur Rasul tetapi tiada jika perubahan dan tauladan yang diambil menerusi sirah Rasul. Moga-moga sambutan Maulidur Rasul kali ini ada sinarnya menjadi pencetus kepada perubahan dan kebangkitan umat Islam.
Sambutan Maulidur Rasul merupakan antara amalan yang diterima sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah SAW. Namun, mahu tidak mahu, tidak dinafikan bahawa masih ada juga sebahagian pihak yang mempertikaikan usaha ini dan melabelkannya sebagai bidaah. Dalam kekhilafan ini, penulis memilih pendekatan sederhana untuk bersama-sama Imam Jalaluddin Sayuti, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Yusuf Qaradawi dan fuqaha yang lain untuk mengharuskan sambutan Maulidur Rasul dengan syarat ianya tidak mencampur adukkan perkara yang dilarang oleh Islam. Dalam merungkai permasalahan ini, penulis ingin menukilkan kata-kata Hasan Al Banna menasihati umat Islam dalam masalah ini seperti yang diungkapkan oleh Yusuf Qaradawi di dalam Fiqh Awlawiyat, yang bermaksud:
“Wahai saudara-saudaraku, aku amat mengetahui bahawa saudara yang bertanya tadi, termasuk juga ramai di kalangan kalian, tidak bermaksud daripada soalan seumpama itu melainkan hanya ingin mengetahui, daripada kumpulan manakah pengajar baru ini? Adakah daripada kumpulan Syeikh Musa atau daripada kumpulan Syeikh Abdul Sami’?! Sesungguhnya pengetahuan ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kamu, sedangkan kamu telah menghabiskan masa dalam keadaan fitnah selama lapan tahun dan cukuplah sekadar itu. Kesemua masalah-masalah itu telah diperselisihkan oleh umat Islam sejak ratusan tahun dan mereka masih terus berselisih pendapat sehingga ke hari ini, namun Allah SWT redha kepada kita untuk berkasih sayang dan bersatu padu serta membenci untuk kita berselisihan dan berpecah-belah. Maka aku ingin mengajak kamu semua berjanji dengan Allah SWT untuk meninggalkan semua perkara-perkara ini sekarang, dan bersungguh-sungguh untuk mempelajari asas-asas agama dan kaedah-kaedahnya, beramal dengan akhlaknya, kelebihan-kelebihannya yang umum dan petunjuk-petunjuknya yang disepakati. Dan mendirikan segala kewajipan dan sunat serta meninggalkan sikap memberat-beratkan dan terlalu rigid supaya hati menjadi suci. Dan supaya menjadi tujuan kita semua hanya untuk mengetahui kebenaran, bukan hanya kerana sekadar mahu memenangkan satu pandangan. Ketika itu, kita mempelajari kesemua ini bersama dalam keadaan kasih sayang, kepercayaan, kesatuan dan keikhlasan. Aku berharap kamu terimalah pandanganku ini dan agar ia menjadi perjanjian sesama kita untuk berbuat demikian”.
Berdasarkan kepada peringatan penting Hasan Al Banna di atas, sudah pasti isu sambutan Maulidur Rasul ini tidak akan menjadi punca perselisihan dan perpecahan umat Islam sekiranya maksud sebenar sambutan seumpama ini dihayati. Namun harus diingat, pada masa umat Islam beriya-beriya untuk menjayakan sambutan Maulidur Rasul dengan pelbagai program dan aktiviti di setiap pelusuk negara, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa masih ramai yang tidak mengenali Rasulullah SAW sama ada dari aspek pemikiran, peribadi, akhlak, pendekatan dan keseluruhan cara hidup baginda. Penulis mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit pengetahuan untuk membicarakan literatur mengenai sirah Rasulullah SAW dengan harapan ianya akan dapat menjadi panduan dan rujukan selepas ini.
Merujuk kepada sejarah penulisan sirah Rasulullah SAW, ianya telah pun dimulakan oleh para sahabat seperti Abu Rafi Mawla yang telah menulis tentang sifat solat dan ibadah baginda. Ini termasuk Sahl b. Abi Hathmah al-Madani al-‘Ansari dan ‘Abd Allah b. ‘Amru b. al-‘As b. Wa’il b. Hashim. Penulisan sirah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam secara sistematik telah dimulakan oleh para Muhaddithun yang juga ahli sejarah seperti Sa`id b. al-Musayyib al-Makhzumi, ‘Urwah b. al-Zubayr b. al-‘Awwam and Abu Fadalah ‘Abd Allah b. Ka’b b. Malik al-Ansari.
Penulisan sirah Rasulullah SAW kemudiannya kian popular ketika zaman Muhammad b. Ishaq yang telah menulis kitab Kitab al-Mubtada’ wa al-Mab`ath wa al-Maghazi iaitu buku yang membincangkan secara terperinci kehidupan baginda bermula kelahiran hingga kewafatan. Ini diikuti oleh Muhammad b. ‘Umar al-Waqidi yang menulis Kitab Azwaj al-Nabiyy, Kitab al-Tarikh wa al-Maghazi wa al-Mab`ath and Kitab Wafat al-Nabiyy and Kitab al-Maghazi. Kitab Sirah yang menjadi rujukan utama hingga kini telah ditulis oleh ‘Abd al-Malik b. Hisham melalui karyanya yang masyhur iaitu Kitab al-Sirah al-Nabawiyyah. Kitab Shamail al Tirmizi yang menghimpunkan hadis-hadis mengenai karakter, sifat, akhlak dan peribadi Rasulullah SAW juga patut menjadi rujukan. Bahkan kitab ini dapat menjadi panduan untuk mengelakkan sebarang riwayat tidak sahih dan palsu mengenai Rasulullah SAW.
Kitab-kitab sirah di atas walaubagaimanapun ditulis di dalam Bahasa Arab dan mungkin ini menimbulkan kesulitan sesetengah pihak untuk memahami dan merujuk isi kandungannya. Ini sebenarnya tidak menjadi halangan bagi tujuan untuk memahami kehidupan Rasulullah SAW kerana terdapat banyak buku-buku kontemporari yang ditulis oleh sejarawan Islam mahupun dalam bentuk terjemahan. Sebagai contoh buku “Life of the Prophet Muhammad: Al-Sira Al-Nabawiyya” oleh Ibn Kathir, Sirah Nabawiyah oleh Abul Hasan Ali Al Nadwi dan juga “The Life of Muhammad: A Translation of Ibn Ishaq: Sirat Rasul Allah” telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris yang boleh dijadikan sebagai rujukan.
Selain daripada itu, buku-buku lain yang boleh dirujuk adalah seperti “Prophet Muḣammad and His mission” oleh S. Athar Husain, “Muhammad, the messenger of Islam: His Life and Prophecy” oleh Hajjah Amina Adil, “Mohammed and the Rise of Islam” oleh D. S. Margoliouth, “The Great Prophet a Short Life of the Founder of Islam” oleh F. K. Khan Durrani, “The Messenger of God Muhammad: An Analysis of the Prophet’s life” oleh M. Fethullah Gulen, “Prophet Muhammad(s) and His Family: A Sociological Perspective” oleh Shamim Aleem, “The Prophet Muhammad: A Biography” oleh Barnaby Rogerson, “Muhammad: Prophet and Statesman” oleh William Montgomery Watt, “Muhammad: Prophet for Our Time (Eminent Lives)” and “Muhammad: Western Attempt to Understand Islam” oleh Karen Armstrong, “The Sealed Nectar (Ar-Raheeq Al-Makhtum)” oleh S. al-Mubarakpuri, “Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources” oleh Martin Lings, “Introducing Muhammad” oleh Ziauddin Sardar dan “Prophet Muhammad and His Miracles” oleh Bediuzzaman Said Nursi. Di samping itu, terdapat juga koleksi rujukan dalam bentuk cakera padat seperti “The Life of the Last Prophet”, sebuah audio biografi oleh Yusuf Islam. “The Sealed Nectar (Ar-Raheeq Al-Makhtum)” oleh S. al-Mubarakpur dan “Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources” oleh Martin Lings merupakan dua buah buku yang mendapat anugerah khas antara buku terbaik versi Bahasa Inggeris mengenai sejarah hidup Rasulullah SAW. Antara karya kontemporari yang menghidangkan analisis segar dan bersifat universal serta menyentuh secara langsung kehidupan dan pengajaran sirah Rasulullah SAW ialah karya Tariq Ramadan yang bertajuk In the Footsteps of the Prophet: Lesson from the Life of Muhammad.
Kesemua koleksi sirah Rasulullah SAW di atas diterbitkan dalam Bahasa Inggeris dan faktor ini boleh menjadi penghalang sesetengah individu untuk memahami buku-buku tersebut. Sebenarnya terdapat buku-buku dalam Bahasa Melayu telah diterbitkan seperti “Biografi Muhammad bin Abdullah” oleh Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abdul Rahman, “Fiqh al-Harakah dan Sirah Nabawiyyah” oleh Abdul Hadi Awang dan “Ensiklopedia Sirah Nabi Muhammad SAW” oleh Khalil Munawwar. Buku “Biografi Muhammad bin Abdullah” ini mempunyai kelebihan dan tarikan tersendiri di mana ia memuatkan gambar-gambar dan ilustrasi sebagai panduan tambahan kepada pembaca untuk memahami sirah Rasulullah SAW. Selain daripada itu, begitu banyak buku terjemahan seperti Fiqh al-Sirah oleh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, “Sejarah kehidupan Nabi Muhammad” oleh Muhammad Hussein Haykal dan “Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran dan Pedoman” oleh Mustafa as-Shibaie, ‘Muhammad’ oleh Martin Lings, ‘Ar-Raheeq Al-Makhtum” oleh S. al-Mubarakpur boleh sahaja didapati di pasaran. Bahkan kitab “Sirah Nabawiyyah Ibnu Hisham” karya Abu Muhammad Abdul Malik Ibnu Hisham yang dianggap antara rujukan berotoriti mengenai Sirah Rasulullah SAW juga telah diterjemahkan.
Berdasarkan senarai rujukan tertera di atas, penulis menganjurkan agar setiap umat Islam untuk memiliki sekurang-kurangnya senaskhah sirah Rasulullah SAW sebagai koleksi peribadi. Sebagai tambahan, setiap isi rumah perlu juga memiliki sekurang-kurangnya satu set koleksi hadith Rasulullah SAW seperti sahih bukhari, muslim dan kitab hadith yang lain. Kitab karangan Yusuf al Qaradawi bertajuk ‘kaifa nataamal maa al sunnah al nabawiyah’ (Bagaimana Beramal Dengan Sunnah Nabawiyah) pula adalah sangat baik bagi menjadi rujukan kepada semua cara dan amalan untuk berinteraksi dengan sunnah. Bagi menghidupkan budaya ilmu dan lebih mengenali sunnah Rasulullah SAW, selain membaca al Quran, bacaan hadith Rasulullah SAW juga perlu dijadikan amalan harian. Moga dengan menghidupkan budaya ilmu ini akan dapat membuatkan kita lebih mengenali dan menghayati ajaran Rasulullah SAW.
Memahami dan meneladani Rasulullah SAW merupakan suatu kewajipan bagi semua umat Islam. Perkara ini tidak akan dapat dicapai melainkan melalui proses pencarian ilmu. Dalam aspek ini, sememangnya kita telah disajikan dengan pelbagai koleksi rujukan mengenai kehidupan Rasulullah SAW. Hanya tinggal kini ialah kemahuan, keazaman, keiltizaman diri untuk belajar memahami dan meneladani seterusnya mendidik jiwa dan rohani untuk mengasihi Rasulullah SAW.