
















PMX, LONDON & PERPADUAN UMAT YANG DIRINDUKAN
Alhamdulillah, lawatan kerja pertama YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke London, United Kingdom (UK) berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion dalam pelbagai sektor, termasuk tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.
Kejayaan itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap dasar negara selepas beliau dan delegasi mengadakan beberapa siri pertemuan dengan 31 kapten industri terkemuka di UK.
Di sana, PMX sempat singgah ke East London Mosque, antara masjid terbesar di Eropah dengan kapasiti lebih 10,000 jemaah, untuk menunaikan Solat Jumaat bersama warga sekitar Upton Park, stadium lama West Ham United.
PMX turut menyumbang naskah al-Quran dengan terjemahan Bahasa Inggeris, selain berucap di depan ribuan jemaah Muslim London dengan penuh bersemangat.
Pidato PMX yang membekas diselangi laungan “Allahu Akbar” oleh para jemaah.
Sahabat-sahabat saya di East London Mosque menzahirkan rasa bahagia dan bangga mereka di atas kunjungan PMX tersebut.
Kepimpinan PMX yang menekankan kasih sayang, kebajikan dan kesatuan, adalah sesuatu yang amat kita perlukan.
Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala memanjangkan umur PMX dan memberkati perjuangan beliau untuk keadilan dan kemanusiaan, bukan sahaja di Malaysia – tetapi juga di peringkat global.




















Ogos 2024 lepas, saya sempat mengadakan pertemuan dan perbincangan di London Muslim Centre (LMC) dan East London Mosque (ELM).
Pertemuan diadakan bersama Dr. Abdullah Faliq (The Cordoba Foundation dan trustee ELM), Sdra. Asad Jaman dan Imam Dr. SM Qayyum berkenaan dengan LMC dan ELM.
Menarik kerana masjid juga ada mengusahakan ternakan lebah menghasilkan madu di bahagian atas masjid.
Hadir sama, tokoh komuniti, ahli akademik, aktivis masyarakat, profesional, pimpinan NGO, tokoh media, ahli perniagaan, peguam, imam, agamawan dan lain-lain.
Saya diminta menyampaikan ucapan pengisian khas sebagai pemula bicara dan ia menjadi kerangka dan asas topik perbincangan.


























Kota London bukanlah asing kepada PMX kerana sejak zaman belia, beliau aktif berpidato dan dijemput ke pelbagai persidangan penting pada peringkat antarabangsa, termasuklah di sekitar Eropah.
Ketika di London pada sekitar Jun 1969, PMX mengadakan pertemuan bersama Ustaz Dr. Razali Nawawi, yang ketika itu merupakan mahasiswa di University of London.
Pada ketika ini, PMX merupakan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan bersama Ustaz Razali serta Ustaz Dahlan Arshad (kemudiannya tokoh aktivis ABIM), mereka menggerakkan perbincangan untuk penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Ustaz Dahlan Arshad merupakan sahabat karib Syeikh Said Ramadan (menantu Syeikh Hassan al-Banna) serta Syeikh Yusuf al-Qaradhawi.
Ustaz Razali merupakan pengasas pertubuhan Malaysian Islamic Study Group of United Kingdom (MISG-UK) bersama Ustaz Dahlan Arshad dan lain-lain.
Ustaz Razali juga merupakan Khatib Pertama Solat Jumaat di Malaysia Hall, London.
Selepas pulang ke tanah air, bermula tahun 1972, Ustaz Razali Nawawi dilantik sebagai Presiden pertama ABIM, di mana PMX menjadi Setiausaha Agung ABIM yang pertama, sebelum PMX menjawat jawatan Presiden ABIM kedua pada 1974.
Ustaz Razali juga mengasaskan sistem usrah pertama yang tersusun, selain bacaan Ma’thurat di negara kita.
Baik PMX, Ustaz Razali Nawawi mahupun Ustaz Dahlan Arshad, ketiga-tiganya mengajar saya erti perjuangan dan kesetiaan.
Kasih dan keprihatinan mereka amat menyentuh jiwa.
Sesungguhnya, pemimpin Muslim itu rindukan saudara-maranya yang jauh di rantau, merindukan perpaduan umat yang lebih besar, demi mengangkat martabat khayra ummah.
Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.
🤲🇲🇾
#MadaniMembantu
#SebarkanSalam #KitaKawan
#SpreadPeace #WeAreOne