
#MadaniMembantu: YB TMA Santuni Warga Kedah Darul Aman
April 7, 2025
Fatwa Berkait Palestin: Fokus Titik Pertemuan; Bukan Perbezaan – YB TMA
April 10, 2025



Merujuk kepada beberapa video yang menggunakan rakaman suara Takbir Raya Aidilfitri YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang sengaja disunting audionya – agar kedengaran perlahan (slow motion) dan dijadikan bahan gurauan pihak yang tidak bertanggungjawab. Bukan semua perkara perlu dibangkang; bukan semua benda boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan sinikal.
Antara amalan sunnah yang boleh diamalkan ketika sambutan Aidilfitri – ialah memperbanyakkan Takbir Raya Aidilfitri; iaitu bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) Syawal dan berakhir setelah selesainya kemuncak Hari Raya.
Ia adalah perkara yang disunatkan berdasarkan firman Allah Subahanahu wa-Ta’ala: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: Ayat 185)
Hadis riwayat Anas pula menyatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa-sallam bersabda: “Hiasilah Hari Raya kamu dengan bertakbir.”
Takbir Raya adalah tanda keinsafan serta pengagungan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala atas segala nikmat-Nya. Setelah sebulan berpuasa dan diberikan kesempatan beribadah dan menikmati bulan penuh hidayah – Ramadan, umat Islam melaungkan takbir dengan penuh gema kegembiraan.
Ia juga sebagai lambang perpaduan dan kekuatan ummah – kerana semua umat Islam bertakbir bersama di Malaysia dan seantero dunia. Kebersamaan yang ditonjolkan dalam Takbir Raya menjadi penyubur ukhwah dalam mengukuhkan hubungan sesama umat Islam, tanpa mengira warna kulit mahupun latar belakang.











Sewaktu Takbir Raya, kita menzahirkan pengharapan agar Allah Subhanahu wa-Ta’ala membantu kita semua dalam menghancurkan musuh-musuh-Nya. Melaungkan Takbir Raya sewajarnya dilihat dari aspek penghayatan dan simbolik keindahan amalan tersebut – bukan sejauh mana kemerduan atau kelunakan suara sesiapa juga yang melakukannya.
Jadi, tidak wajar kita mempermainkan Takbir Raya atas nama gurauan atau semata-mata kerana perbezaan sokongan ideologi politik kepartian. Kritiklah dengan fakta jika ada perkara yang tidak dipersetujui, bicaralah dengan hujah yang benar – dan dikaji secara bersungguh.
















Berbeza pandangan tidak salah; namun jangan sampai tahap menghina, mengaib dan memfitnah, apalagi dengan perkara berkait kesucian nama Allah Subhanahu wa-Ta’ala serta ketinggan Islam sebagai agama yang kita semua cintai. Bersesuaian dengan semangat Takbir Raya, ia seharusnya menyuntik semangat kita untuk terus komited dengan keyakinan kepada Islam, serta menjadikan kita sebagai Mukmin sejati, yang menampilkan akhlak dan adab yang tinggi.
Bertaqwalah – kerana Allah tidak melihat selucu atau setular mana bahan kandungan yang kita muat naik ke media sosial kita – sebaliknya iman dan taqwa kita yang menjadi pengukur amalan di Akhirat kelak.
“Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar!
La ilaha illa Allah, Allahu Akbar, Allahu Akbar walillahil hamd!”
Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.
🤲🇲🇾