

























Memerhati dari jauh – YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) bertandang semula ke Taman Ilmu dan Budi – UIAM dalam program MeetAnwar@IIUM. Alhamdulillah, penuh kesyukuran menyaksikan perkembangan terkini UIAM.
UIAM mempunyai keunikannya tersendiri.
Terdapat 4 buah Universiti Islam yang berhubung kait dengan OIC iaitu Islamic University of Technology (IUT), Bangladesh, Islamic University of Uganda (IUIU), Islamic University Niger (IUN) dan International Islamic University Malaysia (IIUM/UIAM).
UIAM merupakan Universiti Islam Antarabangsa paling terkehadapan dengan pelbagai pencapaian dan sumbangan.



































Penubuhan UIAM secara rasmi pada 10 Mei 1983 bukan sekadar hasil seorang individu, tetapi hasil sinergi antara PMX, PKPIM, ABIM dan dukungan masyarakat antarabangsa melalui OIC.
Malah, ramai tokoh tempatan dan luar negara yang terlibat dan mempunyai sumbangan tersendiri dalam merealisasikan gagasan Islamisasi Ilmu ini.
Namun, sesiapapun tidak boleh menafikan sumbangan PMX terhadap UIAM bahkan sebelum penubuhannya, khususnya ketika beliau menjadi Presiden PKPIM, Presiden ABIM dan Menteri Pelajaran.
Semua ini berlaku dengan dokumen rasmi, hansard Parlimen dan rekod sejarah yang sah.
Pada 23 September 1970, PMX ketika memegang amanah sebagai Presiden PKPIM telah menulis surat kepada Perdana Menteri ketika itu, YAB Tun Abdul Razak menggesa untuk menubuhkan UIAM. Akhirnya, secara rasmi UIAM telah ditubuhkan pada 1983.





Pada tahun yang sama, Bank Islam Malaysia Berhad iaitu Bank Islam pertama di Malaysia juga ditubuhkan, di mana PMX juga sangat instrumental dengan kewangan Islam di Malaysia, khususnya menerusi penubuhan Koperasi Belia Islam (KBI).
KBI merupakan institusi pertama di Malaysia yang memperkenalkan produk dan instrumen kewangan yang berlandaskan Syariah. PMX kemudiannya dilantik menjadi Presiden UIAM selama lebih 11 tahun iaitu 1988-1999.

































Menurut Ustaz Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, keiltizaman PMX untuk melihat UIAM merealisasikan beberapa resolusi penting daripada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Pendidikan Islam di Makkah al-Mukarramah ialah dengan melantik tokoh ilmuwan Islam, Prof. Emeritus Dato’ Dr. AbdulHamid Ahmad AbuSulayman – yang asalnya berpengkalan di Herndon, Virginia, Amerika Syarikat; sebagai Rektor UIAM di antara tahun 1990 – 2000.
UIAM di bawah kepimpinan Prof. AbdulHamid telah melaksanakan proses Islamisasi Ilmu dengan penubuhan Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Sosial. Selain itu, sewaktu PMX menjadi Menteri Kewangan, beliau telah memperuntukkan dana yang besar untuk pembangunan fizikal, akademik dan mahasiswa UIAM, sama ada tempatan dan antarabangsa.
Satu lagi sumbangan istimewa PMX kepada UIAM, adalah beliau telah membuka ruang yang luas kepada pegawai-pegawai kanan polis di seluruh negara untuk mengikuti kursus undang-undang di UIAM, dengan pelepasan separuh gaji oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).
PMX turut berperanan penting menyokong gagasan Tan Sri Prof. Syed Muhamad Naquib al-Attas (kini Profesor Diraja) untuk menubuhkan sebuah institusi pemikiran Islam antarabangsa di UIAM pada tahun 1994, iaitu Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).






















Songkok UIAM dan alunan Selawat Burdah semasa konvokesyen serta acara rasmi di UIAM, pasti akan mengusik jiwa setiap alumninya. Semoga tradisi ini dikekalkan sebaiknya, insya-Allah.
Mendoakan agar UIAM terus cemerlang mendidik umat.
Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! 💪
Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.
🤲🇲🇾