Pak Lah, PMX & Doa Imam Masjid London Timur, United Kingdom

PMX & SEJARAH PANJANG PERJUANGAN MENUBUHKAN UIAM
April 14, 2025
PMX, Prof. Osman Bakar & 3 Dekad Dialog Peradaban Universiti Malaya
April 16, 2025
PMX & SEJARAH PANJANG PERJUANGAN MENUBUHKAN UIAM
April 14, 2025
PMX, Prof. Osman Bakar & 3 Dekad Dialog Peradaban Universiti Malaya
April 16, 2025
Show all

Pak Lah, PMX & Doa Imam Masjid London Timur, United Kingdom

Ingin saya kongsikan cerita istimewa semasa saya menziarahi Imam Dr. SM Qayyum di East London Mosque, United Kingdom pada Ogos tahun lalu. YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kini PMX) kemudiannya turut singgah dan menyampaikan tausiyah di masjid yang sama, pada Januari 2025].

Imam Qayyum pernah berkhidmat di UIAM Gombak dan antara tokoh sangat dihormati di UK. Beliau menceritakan pada Julai 2004, beliau mendapat tahu bahawa Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan datang melawat East London Mosque dan solat Jumaat di sini.

Pada waktu itu, Imam Qayyum bertugas sebagai khatib. Beliau terkenangkan PMX yang masih dalam penjara dan sedang dalam proses mendengar Rayuan di Mahkamah.

Beliau mengenang PMX sebagai tokoh pemimpin Muslim yang bukan saja sangat berjasa kepada Malaysia, malah punya sumbangan signifikan kepada dunia Islam keseluruhannya.

Akhirnya, Imam Qayyum membuat keputusan untuk menyampaikan khutbah Jumaat khas di hadapan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) – mengenai konsep keadilan dalam al-Quran dan perlaksanaannya.

Beliau bangun malam menyiapkan khutbah istimewa ini. Imam Qayyum menyampaikan khutbah dengan sepenuh keikhlasan, sambil berdoa moga dapat menyentuh hati para jemaah, khususnya Pak Lah.

Beliau memberikan beberapa contoh kisah dalam al-Quran mengenai keadilan. Selepas solat Jumaat, Imam Qayyum sempat bertemu dengan Pak Lah, dan Pak Lah mengucapkan terima kasih atas khutbah yang mengesankan.

Setelah beberapa bulan, Imam Qayyum memaklumkan bahawa beliau mendapat tahu yang PMX telah dibebaskan, dan PMX dapat menjalani pembedahan di luar negara selepas itu.

Imam Qayyum menyatakan pada saya, bahawa barangkali usaha kecil beliau menyampaikan khutbah di hadapan pemimpin yang baik seperti Pak Lah, serba sedikit dapat membuka pintu hati untuk terus melakukan kebaikan dan keadilan.

Sepertimana yang diungkap PMX, “…sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas.”

Allahu akbar, terbayang wajah ceria dan tenang Pak Lah yang budiman. Kita semua mengakui kebaikan Almarhum Pak Lah seorang negarawan ulung yang disenangi kawan dan lawan. Bahkan diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Almarhum menunjukkan tauladan politik hebat yang sepatutnya diteladani semua pihak khususnya ahli politik di Malaysia. Moga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Innalillahi wainna ilayhi rajiun. Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu’anhu.

Al-Fatihah.

#AlFatihah #Takziah

Leave a Reply

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support