
PMX & YB TMA Tampil Dalam Simposium Kepimpinan MADANI-Asia Tenggara, Di TAMU Hotel
June 30, 2025
YB TMA Tampil Dalam Perjumpaan PMX Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Jun 2025
July 1, 2025






















Dengan penuh kesedihan mendapat berita pemergian guru saya yang mulia, Almarhum Ustaz Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty. Kebetulan mendapat berita ini semasa bermesyuarat dengan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) di Jabatan Perdana Menteri sekitar jam 11:30 pagi.
PMX kehilangan seorang lagi sahabat sejati yang sentiasa setia dan teguh bersama dalam perjuangan sedari era PKPIM dan ABIM sejak 1960an. Sewaktu menunaikan Solat Jenazah di pusara Almarhum, rasa sebak dan terharu atas segala pengorbanan dan jasa bakti yang beliau curahkan sepanjang hayatnya.
Pemergian Almarhum merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam dan negara, khususnya dalam bidang dakwah, keilmuan dan pemikiran Islam.
Terkenang bait-bait lirik lagu Pemergianmu nyanyian Inteam:
“Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia kan mati akhirnya…”










Saya secara peribadi diberi peluang berkhidmat bersama-sama Almarhum antaranya di Kolej Dar al-Hikmah (KDH) di mana Almarhum mencurah bakti sebagai Presiden kolej selepas pemergian murabbi ummat, Almarhum Ustaz Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.
Saya juga bekerja rapat dengan Almarhum yang memegang amanah sebagai Pengerusi IKIM. Saya menjadi saksi ketulusan dan keindahan akhlak yang ditunjukkan Almarhum. Bukan sahaja ilmuwan hebat yang fasih dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, tetapi juga berfikiran jauh dan strategik.



















Almarhum juga sentiasa menggunakan pendekatan yang wasatiy dan mendamaikan – serta menghormati dan meraikan perbezaan pandangan. Ramai ulama besar luar negara menyampaikan takziah atas pemergian Almarhum, antaranya Syeikh Ali Al-Qaradaghi dan Syeikh al-Raysuni dari Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Moga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Innalillahi wainna ilayhi rajiun. Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu’anhu. Al-Fatihah.





