Maal Hijrah 1434

Salam,

In conjunction with Maal Hijrah 1434, I repost my personal reflection on my recent journey to Makkah and Madinah. I consider this as one of my significant spiritual and emotional journeys to hijaz, the land of anbiya. I wish to all my weblog readers, happy Maal Hijrah. May Allah grants His blessing and forgiveness to us.

Memaknai Kembara Spiritual di Bumi Hijaz

Zulkifli Hasan

Bermulanya Sebuah Perjalanan

Kembara ilmu kali ini adalah rihlah spiritual penuh beremosi dan sentimental. Emosi seorang hamba kepada Tuhannya. Emosi yang melibatkan perasaan pada Penciptanya. Kembara ilmu ke bumi Hijaz ini juga melibatkan misi lanjutan kepada proses menelusuri sejarah Islam yang telah dilaksanakan sejak 10 tahun dahulu. Bumi Hijaz merupakan bumi yang paling sarat dengan sejarah dan peristiwa penting dalam Islam. Bermula dengan sejarah Nabi Adam dan Hawa dipertemukan di Jabal Rahmah hingga kepada kegemilangan zaman Rasulullah, bumi Hijaz hingga hari ini menjadi pusat tumpuan dunia.


Mendaki Jabal Rahmah, tempat di mana Nabi Adam dan Hawa bertemu setelah berpisah sekian lama

Penulisan ini merupakan catatan ringkas penulis dalam kembara ilmu ke bumi Hijaz. Catatan ini adalah hasil nukilan ikhlas penulis sepanjang berada di tanah suci Mekah dan Madinah. Catatan ini di buat semasa berada di dalam bas, kapal terbang, bilik penginapan dan sebahagian besarnya ditulis semasa berada di dalam Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Penulis sentiasa berfikir dan terus berfikir, memerhatikan, menganalisis, dan meneliti kembara ilmu kali ini. Walaupun bukanlah seorang pemikir hebat dan tidak pula dikenali oleh sesiapa, nukilan ikhlas ini merupakan catatan refleksi peribadi penulis dalam kembara spiritual ramadhan di bumi Hijaz kali ini.

Perlu juga diingatkan segala fakta, rujukan dan petikan sirah Islam yang dipetik dalam catatan ini adalah hanya berdasarkan ingatan dan bacaan penulis sebelum ini. Kemungkinan akan terdapatnya beberapa kekurangan oleh kerana tiadanya buku rujukan dan apa-apa sumber yang boleh membantu penulis mengesahkan fakta-fakta tersebut. Penulis juga sengaja memutuskan hubungan dengan dunia luar untuk jangkamasa selama berada di tanah suci ini dengan tiadanya internet dan juga merahsiakan nombor telefon bagi memastikan kembara spiritual kali ini benar-benar fokus dan ekslusif antara penulis dengan Tuhannnya.

Catatan ini juga bersifat peribadi dan ianya hasil luahan rasa ketika berada di bumi Hijaz ini. Sekiranya ada nukilan yang kadang-kadang sentimental dan emosional, ianya bukan bertujuan sebagai penyedap rasa dan retorik, tetapi ianya benar-benar lahir dari isihati yang masih segar ketika di tanah suci ini. Lebih-lebih lagi kebanyakan catatan ini dinukilkan di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi dan waktu selepas subuh adalah masa yang kerap kali diperuntukkan untuk tujuan ini. Moga catatan ini sedikit sebanyak dapat dijadikan rujukan oleh penulis setelah meningalkan bumi Hijaz pada kali ini.

Pada 23 Julai 2012 bersamaan dengan 3 Ramadhan bermulalah kembara ilmu atau rihlah spiritual penulis di bumi Hijaz. Setelah melawati puluhan negara dalam siri kembara ilmu sebelum ini, kini tiba masanya penulis meneruskan ekspedisi ilmu dan spiritual ini dan sudah pasti kemuncak kembara ilmu ialah menziarah dua kota suci Mekah dan Madinah. Dalam catatan ini, penulis akan menggunakan terminologi ‘bumi Hijaz’ atau ‘tanah suci’ atau ‘kota suci’ dan sama sekali tidak akan menggunakan nama Arab Saudi. Ini kerana bumi hijaz bukan milik keluarga Saudi bukan hak sesiapa tetapi ianya adalah milik umat Islam seluruhnya.

Kembara ilmu kali ini berlaku tepat pada masanya. Di bulan Ramadhan yang mulia di bumi yang mulia dengan matlamat yang mulia. Kemuncak kembara ilmu merupakan proses berterusan memaknai kehidupan ini. Setelah melawati puluhan negara di seluruh dunia dan menyaksikan sendiri kebenaran dan kekuasaan Allah, penulis sengaja memilih kemuncak kembara ilmu ini di bumi Hijaz. Bertepatan dengan aspirasi ini, penulis memilih tema kembara ilmu kali ini dengan ‘Memaknai Kembara Spiritual Ramadhan di Bumi Hijaz’.

Persiapan Ilmu, Mental dan Spiritual

Ramai yang sering kali membicarakan persiapan umrah atau haji dari sudut kemampuan kewangan. Namun pada penulis, persediaan paling utama ialah persiapan ilmu pengetahuan. Hanya dengan ilmu yang sahih dapat memastikan segala amalan dan ibadah akan diterima oleh Allah. Persiapan ke bumi Hijaz ini di mulakan dengan persiapan ilmu. Buku ‘manasik haji wal umrah’ dan beberapa buku panduan umrah dan haji dirujuk dan difahami. Bukan itu sahaja, oleh kerana kesuntukan masa untuk menghadiri kursus umrah, penulis telah menonton beberapa siri ceramah mengenai umrah dan persediaannya yang yang terdapat di dalam ‘youtube’. Nasihat dan penerangan mengenai kelengkapan, tips perjalanan, teknik memakai kain ihram, perkongsian pengalaman dan sebagainya ada saja di dalama kandungan ceramah yang ditontoni.

Dari sudut spiritual dan refleksi kembara ilmu, bacaan wajib sebelum musafir ialah tulisan Ali Shariati bertajuk ‘Hajj’ dan ‘Road to Mecca’ oleh Muhamamd Asad. Travelog versi dua pemikir hebat ini begitu memberikan inspirasi untuk penulis meluangkan sedikit masa untuk menghasilkan refleksi diri semasa berada di bumi Hijaz. Pada penulis, karya Ali Shariati yang akhirnya mati dibunuh oleh agen Shah Iran ketika berada di London merupakan nashkah wajib bagi sesiapa yang ingin menziarahi bumi Hijaz. Manakala tulisan Muhammad Asad yang berjudul ‘Road to Mecca’ itu memberikan persoalan yang amat penting untuk dijawab semasa mengunjungi kota Mekah dan Madinah. Mungkin catatan Malcolm X setelah beliau menunaikan haji dan mengunjungi bumi Hijaz juga sesuai untuk dijadikan rujukan.

Beberapa buku mengenai sejarah kota Mekah dan Madinah ditelaah dan fakta-fakta terkandung dalamnya siap sedia akan ditelusuri semasa ziarah nanti. Buku seperti ‘Atlas on the Prophets Biography: Places, Nations and Landmarks’ oleh Shawqi Abu Khalil dan karya Safiur Rahman al-Mubarakpuri yang bertajuk ‘Ar-Raheeq Al-Makhtum’ atau terjemahannya “The Sealed Nectar” merupakan antara buku penting mengenai sejarah hidup Rasulullah dan kota Mekah dan Madinah. Mungkin bagi maksud bacaan ringan, buku sejarah Mekah dan sejarah madinah oleh Abdul Basit Abdul Rahman boleh dijadikan rujukan. Menarik juga untuk dibaca ialah politik dan keadaan sosio-eknomi bumi Hijaz. Dalam aspek ini, karya Robert Lacey bertajuk ‘the Kingdom’ dan dan juga ‘the Inside Kingdom’ menjadi rujukan. Kedua-dua buku ini pernah menjadi buku terlaris di pasaran satu waktu dahulu dan pasti ianya telah diharamkan di Arab Saudi kerana mendedahkan hal ehwal keluarga diRaja Saudi.


Antara buku yang baik untuk dibaca mengenai sejarah Rasulullah


Antara buku yang sesuai untuk rujukan sebelum menziarahi kota Mekah

Tidak juga dilupakan ialah persiapan untuk keluarga sebelum meneruskan kembara ilmu ini. Segala kelengkapan rumah dan lain-lain terlebih dahulu disediakan. Penulis berbincang dengan isteri tersayang tentang program dan tugas anak-anak yang perlu dibuat sementara penulis berada di tanah suci. Alhamdulillah, isteri tersayang sudah biasa dengan kembara ilmu penulis. Kerap kali juga kami sekeluarga mengembara di seluruh dunia bersama-sama sebelum ini. Isteri tercinta sentiasa memahami dan bersedia setiap kali adanya kembara ilmu penulis.

Selain dari persiapan keperluan rumah, persiapan awal yang penting untuk dilaksanakan ialah persediaan mental anak-anak. Seawal mungkin penulis telah mula bercerita tentang sejarah Rasulullah dan kisah kota suci Mekah dan Madinah. Mereka perlu dididik dan diceritakan dengan kisah-kisah ini sejak kecil lagi. Dalam masa yang sama penulis juga memberitahu mereka akan ekspedisi penulis ke bumi Hijaz kali ini. Walaupun pada mulanya anak-anak berat untuk berpisah namun setelah diberitahu secara berterusan dengan cerita dan kisah Rasul, mereka sudah dapat menerimanya dan akhirnya tanpa masalah melepaskan pemergian penulis. Terima kasih isteriku tersayang dan anak-anakku tercinta kerana redha dan memberi peluang kepada diri ini untuk meneruskan kembara ilmu di tanah suci di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Menjejakkan Kaki di Bumi Hijaz

Lebih kurang jam 7 petang, kapal terbang ‘ Saudi Airlines’ mendarat di lapangan terbang Jeddah. Pada waktu ini, penulis baru sahaja bersiap sedia untuk berbuka puasa. Hanya dengan berbekalkan kurma, epal dan air mineral, penulis berbuka puasa bersama-sama dengan jemaah lain. Kami terus di bawa ke terminal untuk menunggu urusan ‘immigration’ di lapangan terbang Jeddah yang semestinya menjadi cabaran kepada setiap jemaah yang mengunjungi Arab Saudi. Kerenah dan masalah sikap kakitangannya sudah menjadi kelaziman dan kali ini penulis ingin mengiyakan fakta tersebut.

Setelah beberapa jam menunggu, akhirnya penulis telah berjaya melepasi pintu kawalan ‘immigration’ dan terus mendapatkan bagasi. Semua jemaah terpaksa menunggu lagi untuk menaiki bas ke Mekah. Lebih kurang jam 11.45 malam, penulis memulakan perjalanan ke Mekah dengan hati yang berdebar-debar. Dengan perjalanan yang mengambil masa lebih kurang satu setengah jam berikutan kesesakan lalulintas, akhirnya penulis telah sampai ke Mekah pada jam 1.15 pagi. Setibanya di hotel penginapan, penulis terus bersiap sedia untuk menunaikan umrah. Tepat jam 2 pagi 4 Ramadhan penulis telah memulakan langkah ibadah umrah dan dengan itu bermulalah secara rasminya episod kembara spiritual penulis di bumi Hijaz khususnya pada waktu ini mengunjungi Masjidil Haram dan Kaabah al Musyarrafah.


Menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Jeddah

Ramadhan dan Suhu di Bumi Hijaz

Berpuasa di bulan Ramadhan di bumi hijaz merupakan sesuatu yang agak mencabar. Dikhabarkan juga tahun ini, suhu dalam bulan Ramadhan adalah antara yang paling panas dengan suhu boleh mencecah 50-52 celcius. Tetamu Allah pada Ramadhan ini juga dikatakan paling ramai dengan Masjidil Haram penuh sesak dengan jutaan jemaah pada setiap masa terutamanya waktu Solat fardu. Pengalaman dengan cuaca dan suhu seumpama ini pernah dirasai semasa penulis berada di Dubai dan juga Oman. Kepanasannya betul-betul mencabar, kita perlu mempunyai kekuatan fizikal dan mental untuk melaluinya. Tambahan pula kepanasan ini berlaku dalam bulan Ramadhan mulia, sudah pastilah berpuasa di dalam cuaca panas ini menambahkan lagi cabarannya itu.

Kepanasan yang tidak seberapa ini tidak perlu dijadikan alasan untuk kurang beribadah. Pada waktu ini, teringat kepada peristiwa Bilal bin Rabah yang diseksa dengan dihimpap batu dan dijemur di tengah padang pasir. Dalam keadaan yang sangat kritikal ini, Bilal tetap dengan imannya, Bilal tetap dengan kalimah Tauhid dan Bilal tetap hatinya dengan iman. Walaupun Bilal ini hamba, tapi sebenarnya jiwanya adalah merdeka, jiwanya adalah hebat, jiwanya adalah suci dan sudah pasti jiwanya mendapat kasih sayang Allah. Peritsiwa ini mengajar penulis bahawa betapa hebatnya generasi awal didikan Rasulullah di mana segala cabaran dan rintangan ditempuhi dengan tenang penuh keimanan. Kisah Bilal ini begitu memberi keinsafan dan akhirnya menjadi pendinding kepada penulis dari mengeluh dengan cuaca panas semasa berada di Mekah dan Madinah. Pengalaman berpuasa dan dalam masa yang sama menunaikan ibadah umrah adalah begitu mencabar. Faktor suhu, cuaca, ramainya jemaah memerlukan kesabaran dan jati diri untuk terus melaksanakan ibadat dengan penuh keikhlasan.

Umrah dan Signifikasinya Kepada Penulis

Kami sampai di hotel penginapan yang terletak kira-kira 450 meter dari masjidil haram pada jam 1.15 pagi. Setelah bersiap dan selesaikan urusan bilik penginapan, tepat jam pukul 2 pagi, penulis terus memulakan langkah ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah buat pertama kali dalam hidupnya. Bermanfaat juga untuk disebut di sini bahawa Rasulullah sepanjang hidupnya hanya menunaikan umrah sebanyak empat kali dan haji sekali.

Langkah ke Masjidil Haram merupakan perjalanan adalah sangat bersejarah kepada penulis. Perjalanan ke Masjidil Haram ini walaupun singkat tetapi merupakan antara perjalanan paling beremosi penulis. Walaupun dengan sikap segelintir manusia di kota suci ini yang bersikap kasar dan kurang beradab, segala perkara sebegini tidak akan dapat mengubah emosi penulis untuk menyerahkan jiwa raganya beribadat kepada Allah.


Bersama Dr. Ahmad Azam Othman, bersiap sedia untuk menunaikan Umrah

Ibadah tawaf memberikan makna yang begitu mengesankan kepada penulis. Dengan kewajipan memakai ihram dan disunatkan ittiba’ melakukan tawaf di sekeliling Kaabah merupakan satu bentuk ibadah yang sangat signifikan. Pada waktu ini tiada lagi perbezaan warna kulit, kekayaan, kecantikan dan sebagainya. Hanya ketaqwaan dan perhambaan kepada Allah menjadi penentu kehidupan di mata Allah.

Ibadah tawaf juga ialah simbol kepada konsep Tauhid kepada Allah. Dengan ibadah tawaf mengelilingi Kaabah, ianya adalah simbolik kpada pengesaan Allah oleh hambanya. Walau di mana kita berada, walau ke mana kita bermusafir, walau apa sahaja kita lakukan di dunia ini, peranan kita sebagai hamba adalah hanya satu iaitu mengabdikan diri menyembah Allah. Kaabah adalah simbolik kepada espistemologi Tauhid. Melalui konsep Tauhid inilah manusia di muka bumi hanyalah berperanan sebagai pemegsng amanah atau khalifah yang perlu melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah. Bukan itu sahaja individu beriman juga punya amanah untuk melaksanakan dakwah Islam termasuk kewajipan untuk mencegah kemungkaran dan mempromosi kebaikan.

Namun dikala penulis ingin beremosi dan khusyuk dengan ibadah tawaf, kehadiran ‘zam zam tower’ yang menaungi Masjidil Haram dan Kaabah dan lebih gah binaannya sangat menganggu ketenteraman penulis. Pada penulis, kehadiran jam besar atau ‘Big Ben’ Mekah dengan hotelnya yang bertaraf ‘super’ mewah ini yang betul-betul bersebelahan dengan Masjidil Haram sama sekali menjadi unsur pengganggu kepada tetamu Allah untuk beribadat. Kehadiran beratus-ratus atau beribu-ribu kedai di pusat beli belah bersebelahan Masjidil Haram ini sudah pasti boleh menjejaskan tumpuan jemaah untuk beribadah. Lebih teruk lagi, sudah ada jemaah yang hanya melaksanakan solat berjemaah dan tarawih di dalam pusat membeli belah tersebut tanpa berada di dalam kawasan Masjidil Haram.


Selepas selesai menunaikan ibadah Tawaf

Selepas tawaf dan solat sunat tawaf, penulis terus bergefas ke Bukit Safa untuk ibadah saie. Bukit Safa ini sangat bersejarah dan terdapat pelbagai peristiwa penting dalam Islam berlaku di bukit ini. Tetapi apa yang menjadi pencetus kepada ibadah saie ini yang sangat memberi kesan kepada penulis ialah kecekalan Siti Hajar di kala mencari sumber air untuk anaknya Nabi Ismail. Dengan jarak antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sejauh lebih kurang 450 meter, Siti Hajar telah berjalan dan berlari sejauh lebih kurang 3.15 km termasuk memanjat kedua-dua bukit tersebut yang boleh dikira agak sukar bagi seorang wanita terutama di kala kekurangan air di tengah kawasan yang kering kontang tidak berpenghuni.

Pada penulis, ibadah saie memberikan empat pengajaran utama iaitu usaha, tawakal dan keihklasan serta elemen kasih sayang. Kisah Siti Hajar berlari di antara Bukit Safwa dan Marwah cuba untuk mendapatkan bantuan menunjukkan bahawa Allah sentiasa melihat dan menilai usaha setiap hambanya. Usaha yang melibatkan penggunaan akal dan kecekalan hati sudah pasti akan dipandang dan diberikan perhatian oleh Allah.

Konsep tawakkal Siti Hajar juga adalah sangat agung. Apabila beliau bertanya kepada Nabi Ibrahim sejurus sebelum baginda meningalkan beliau bersama Nabi Ismail di bumi tandus, beliau akur dan sangat yakin bahawa Allah akan pasti memelihara hambanya. Sungguh agung pengorbanan Siti Hajar dan sungguh hebat pengabdian serta keyakinan pada Tuhannya.

Konsep ikhlas juga menjadi unsur yang sangat penting dalam kisah ini. Siti Hajar dengan penuh ikhlas memohon bantuan Allah demi anaknya Nabi Ismail. Keikhlasan Siti Hajar ini tiada tolok bandingnya. Dengan berkelana dua beranak di bumi kering kontang, beliau tidak pernah mempertikaikan keputusan Nabi Ibrahim, lebih-lebih lagi apabila mengetahui ianya adalah arahan Allah. Dengan keikhlasan hati yang mengagumkan beliau mentaati perintah Allah dengan penuh keimanan.

Penulis berpandangan bahawa terdapat juga elemen yang sangat penting dalam kisah Siti Hajar ini yang jarang diperbincangkan iaitu konsep nilai dan kasih sayang yang melibatkan emosi dan perasaan. Pada penulis elemen inilah yang menjadi ‘hallmark’ dan kelebihan yang ada pada setiap manusia. Dalam kisah ini sudah pasti kasih sayang Siti Hajar seorang ibu kepada anaknya menjadi salah satu elemen penting pengajaran. Siti Hajar melaksanakan perintah Allah bukan sahaja penuh keihlasan tetapi dilakukan dengan sepenuh hati, sarat dengan kasih sayang dan perasaan kasih. Nilai inilah yang perlu juga diberikan perhatian oleh umat islam. Apabila berbicara aspek ini, penulis teringat akan perlunya kasih sayang pada ibubapa, anak anak, isteri, pelajar, sahabat, rakan taulan, rakan sepejabat dan saudara seagama. Elemen kasih sayang ini apabila diikat kukuh bersama dengan konsep Tauhid sudah pasti boleh menjadi unsur utama kesatuan dan perpaduan umat.

Saie pada penulis memberikan ruang dan kesempatan kepada setiap individu yang beriman untuk berdialog dengan Tuhannya. Ianya juga sangat menguji kecekalan seseorang. Kekuatan fizikal dan mental amat diperlukan untuk menyelesaikan saie sebanyak tujuh kali pusingan itu. Sepanjang saie itu, selain doa dan zikir, penulis sentiasa berfikir betapa kerdilnya penulis dan betapa besarnya pengorbanan generasi terdahulu untuk menegakkan Islam.


Tetamu Allah sedang menunaikan Saie

Tahalul merupakan perkara yang mesti ditunaikan. Setelah pelbagai pantang larang semasa ihram, tahalul memainkan peranan sebagai simbolik membebaskan jemaah dari segala larangan ihram. Terfikir kenapa kita digalakkan untuk bertahalul atau bergunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut oleh orang yang telah selesai bertahalul dan kemudian baru kita pula akan menggunting rambut jemaah yang belum lagi bertahalul. Penulis merasakan betapa amalan tahalul ini dapat menjana perasaan silaturrahim di antara umat islam. Pengalaman bertahalul beberapa kali membuktikan perkara ini di mana penulis hanya akan menghulurkan kepala dan akan ada jemaah yang akan memotong sedikit helaian rambut dengan mesra. Ibadah tahalul ini iaitu rukun kemuncak ibadah umrah ini jika dihayati pasti akan menjadi antara ibadah yang dapat menyuburkan kesatuan umat.


Selesai menunaikan Umrah

Kapitalis, ‘Zam zam Tower’ dan Masjidil Haram

Antara perkara yang begitu mengganggu emosi penulis ialah dengan adanya Menara Zam Zam bersebelahan Masjidil Haram. ‘Zam zam Tower’ yang dibina seakan menjadi simbol kepada kapitalis di tengah-tengah pusat peribadatan umat islam. Ikhlas di hati bahawa ketika teruja dan beremosi melakukan tawaf mengelilingi Kaabah, kerap kali ‘Zam zam Tower’ ini yang tersergam megah menaungi Masjidil Haram mencacatkan kelangsungan emosi untuk beribadah.

Adalah tidak menjadi kesalahan membina sebesar mana bangunanpun, tetapi apabila ianya dibina betul-betul bersebelahan dengan Masjidil Haram dan terpaksa mengorbankan beberapa kesan penting sejarah Islam, matlamat pembinaanya mungkin boleh dipertikaikan. Dilaporkan pembinaan ‘Zam Zam Tower’ telah mengorbankan kesan sejarah Kubu Ajyad semasa zaman Uthmaniah di mana hampir keseluruhan bukit terletaknya kubu tersebut telah diletupkan. Hilang dan lenyapnya kesan sejarah ini begitu dikesali dan ianya tidak akan dapat digalang ganti dengan ‘Zam Zam Tower’ yang pasti hanya mampu diduduki oleh para elitis dan hartawan.

Kehadiran ‘Zam zam Tower’ atau ‘Big Ben’ versi Mekah ini sedikit sebanyak menunjukkan elemen kapitalisma yang sangat kuat menguasai dunia Islam. Bayangkan dengan caj USD1000-2000 semalam pada waktu biasa dan mencecah USD3000-5000 semalam pada waktu kemuncak seperti malam 10 terakhir Ramadhan menunjukkan golongan mana yang mampu menginap di ‘Zam Zam Tower’ ini. Sesiapa yang terlibat dengan kerja amal dan dakwah juga amat arif betapa besarnya jumlah ini yang boleh diberikan kepada fakir miskin. Dengan kos ribuan hanya untuk satu malam, ianya boleh sahaja menyara kehidupan beberapa buah keluarga miskin dengan keperluan dapurnya beberapa bulan. Jika dirujuk kepada kempen sekampit beras ABIM, satu pek beg plastik lengkap dengan keperluan dapur seperti beras, minyak, tepung gula dan lain lain hanyalah berharga RM50. Yang peliknya ada segelintir termasuk yang bergelar agamawan dan ilmuan yang berbangga sekiranya mereka menginap di ‘Zam zam Tower’ ini. Mungkin dengan menginap di hotel ini akan mengangkat status mereka agaknya. Kadang-kadang kita terlupa akan tujuan datang ke tanah suci ini dan juga alpa bahawa Allah hanya memandang darjat ketaqwaan seseorang dan bukan kerana mereka menginap di ‘Zam zam Tower’.

‘Zam zam Tower’ ini adalah simbol kapitalis dan keduniaan yang berkebetulan dibina bersebelahan dengan Masjidil Haram. Kehebatan ‘Zam zam Tower‘ dengan jam gergasi ini pada penulis sedikit sebanyak menjejaskan peranan sebenar pembangunan kota Mekah. Nas-nas yang menggalakkan ibadah dan menceritakan fadilat di Masjidil Haram ini digunakan sepenuhnya secara opportunis oleh golongan pemodal untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda. Pernahkah kita terfikir bahwa nas-nas sedemikian sama sekali tidak bermaksud untuk tujuan keuntungan dunia.

Pembangunan di sekitar kota Mekah pada waktu ini adalah tidak seimbang. Lebih menyedihkan hotel mewah dan pusat beli belah sebenarnya yang mewarnai kota Mekah. Aura kota suci ini sebagai tempat yang sarat dengan sejarah dan kesannya kini kian hilang ditelan pembangunan. Kesan jangka panjang pendekatan seumpama ini pasti hanya akan menyebabkan secara tidak langsung ‘apartheid’ dalam versi yang baru di mana perbezaan di antara golongan kaya dan golongan berpendapatan rendah jelas kelihatan. Hotel mewah yang menaungi Masjidil Haram hanya akan dididuki oleh hartawan manakala hotel-hotel murah kelas bawahan terletak di sudut yang jauh dari Masjidil Haram yang pastinya dihuni oleh golongan bawahan. Maka pengasingan dua kasta ini pasti akan menimbulkan perasaan tidak senang umat Islam pada satu ketika nanti.


Berlatarbelakangkan ‘Zam Zam Tower’ sambil merenung jauh nasib kota suci ini

Merindui Rasululullah

Catatan ini ditulis selepas solat subuh dan setelah selesai bacaan al Mathurat pada 13 Ramadhan di Masjidil Haram. Penulis mengakui bahawa nukilan merindui Rasulullah ini merupakan catatan yang paling emosional, sentimental dan menyentuh perasaan. Catatan waktu subuh di masjid suci ini merupakan luahan rasa dan rindu penulis kepada Rasulullah. Entah mengapa pada waktu subuh ini terasa begitu pilu mengingati Rasulullah. Setelah menziarahi beberapa kesan dan sejarah baginda, perasaan itu semakin membuak di jiwa dan penulis mengambil kesempatan untuk segera menterjemahkan emosi dan rasa rindu ini di Masjidil Haram.

Menziarahi Jabal Thur di mana terletaknya gua tempat persembunyian Rasulullah semasa berhijrah ke Madinah memberikan keinsafan yang sangat mendalam. Dengan ketinggian Jabal Thur ini, kecilnya keluasannya, sukarnya untuk mendaki bukit ini, lebih-lebih lagi di bawah kepanasan mentari, membuktikan bahawa Rasulullah sehabis mungkin berusaha untuk memberi pengajaran kepada umatnya. Rasulullah berusaha untk menjadi manusia biasa yang merancang segalanya dan mengambil risiko untuk meneruskan dakwah di mukabumi ini. Kalau situasi yang sama berlaku pada kita, sudah tentulah kita akan hanya memohon kepada Allah untuk memanggil ‘Buraq’ iaitu kenderaan Rasulullah semasa Isra dan Mikraj dan terbang sepantas kilat untuk sampai di Madinah dengan selamat tanpa ancaman mana-mana musuh. Rasulullah tetap dengan perancangannya yang teliti sebagai manusia biasa berhijrah ke Madinah menggunakan unta bertemankan Saidina Abu Bakar al Siddiq. Betapa besarnya pengorbanan Rasulullah.


Di kaki Bukit Thur

Peristiwa selepas perang Hunain di Ji’ranah juga memberi kesan yang mendalam kepada penulis. Dalam peristiwa ini Rasulullah telah membahagikan harta rampasan perang kepada orang Mekah setelah menang ke atas musuh Islam. Rasulullah menunggu beberapa hari untuk memberikan peluang kepada mereka yang tewas untuk beriman kepada Allah dan akan memulangkan harta mereka. Oleh kerana tiadanya yang berbuat demikian Rasulullah telah membahagikan semua harta tersebut kepada penduduk Mekah yang baru sahaja masuk Islam di antaranya ialah Abu Sufian.

Kaum Ansar penduduk Madinah ada yang tidak berpuashati dan berita ini mendapat pengetahuan Rasululah. Pada waktu itulah Rasulullah memanggil semua kaum ansar di Ji’ranah dan bertanya kepada mereka adakah kamu mahukan harta? Jika kamu mahu harta akan kuserahkan kepada kamu dan aku akan pulangbersama orang Mekah. Tetapi tidakkah kamu tahu bahawa aku akan pulang ke Madinah bersana kamu, dan adakah perkara yang paling baik selain dari aku. Para sahabat kaum ansar menitiskan air mata mendengar sabda Rasulullah dan terus memilih Rasulnya berbanding harta. Tiada seorang pun yang kemudiannya mempertikaikan keputusan Rasulullah selepas itu.

Peristiwa di Ji’ranah ini begitu nemberi kesan kepada penulis. Dengan menziarahi masjid Ji’ranah dan kawasan sekitarnya, memberi pengajaran yang begitu agung iaitu tiada yang lebih berharga selain daripada Rasulullah. Harta dan kekayaaan hanyalah sementara dan Rasulullah lah yang sepatutya dijadikan panduan dan ikutan sepanjang masa. Hanya Rasulullah yang boleh memberi shafaat dan hanya Rasulullah lah tempat kita memohon bantuan diakhirat kelak.

Walaupun tidak berkesempatan melawat gua Hira atas faktor cuaca dan suhu yang sangat panas, penulis masih sempat untuk melihat sendiri bukit di mana terletaknya gua Hira. Ya Allah, di waktu itu, terbayangkan betapa tinggi keazaman Rasulullah beruzlah untuk mencari kebenaran. Betapa hebatnya usaha Rasulullah untuk mendapatkan nur Allah. Ketinggian dan bentuk muka bumi untuk ke gua Hira itu memberi simbolik kepada kecekalan Rasulullah untuk menemui kebenaran dan akhirnya dilantik sebagai Rasul pada usia 40 tahun.

Ketika melawat Arafah terbayang pidato atau khutbah Wida Rasulullah pada 9 Zulhijjah 10 Hijrah. Khutbah tersebut adalah khutbah terbaik, terlengkap, terkemas, terhebat, tersempurna sepanjang zaman. Khutbah ketika haji pertama dan terakhir Rasulullah itu meninggalkan kesan yang sangat signifikan kepada umat manusia seluruhnya. Wasiat Rasulullah itu secara rasminya mengiktiraf Islam sebagai agama diredhai Allah. Tidak ada satu khutbah yang tersempurna berbanding khutbah agung ini.

Merenung Bukit Safa meninggalkan pelbagai perasaan. Di Bukit Safa inilah Rasulullah secara terang-terangan mengajak penduduk Mekah menyembah Allah. Pada waktu dan tempat inilah Abu lahab telah mencela Rasulullah dan akhirnya Allah pula yang mencela Abu Lahab. Di Bukit Safa inilah juga pelbagai sejarah Rasulullah dirakamkan sama ada pahit dan manis. Rasulullah juga jadikan Bukit Safa ini tempat pertemuan antara pimpinan tentera selepas menawan kota Mekah. Di Bukit Safa ini jugalah Rasulullah dipukul teruk oleh Abu Jahal sehingga luka berdarah dan akhirnya Saidina Hamzah Abdul Mutalib pula memukul teruk Abu Jahal dengan busur panahnya sehingga luka parah. Di Bukit Safa ini jugalah pemimpin Quraish bermesyuarat dan memutuskan untuk membunuh Rasulullah sebelum Rasulullah berhijrah. Sungguh besar penorbananmu ya Rasulullah.

Penulis membayangkan sekiranya Rasulullah ada pada waktu ini, adakah Rasulullah akan mengenali dan mengaku penulis sebagai umatnya. Adakah penulis sudah cukup persediaan untuk menjadi pengikutnya yang setia?. Adakah penulis sudah cukup mengasihi Rasulullah?. Adakah sudah cukup mengenali Rasulullah:?. Adakah sudah cukup mengamalkan sunnahnya? Adakah sudah cukup berselawat kepada Rasulullah?. Adakah sudah menunaikan apa yang disukai oleh Rasulullah? Adakah sudah bersedia untuk berkorban untuk Rasulullah?. Ini adalah antara persoalan yang perlu dijawab sendiri oleh penulis sekiranya benar-benar mencintai Rasulullah. Persoalan yang memerlukan iltizam dan pembuktian melalaui perlaksanaan dan amalan.

Kasih Sayang di Balik Tabir Kaabah

Antara perkara ygn menarik di kota suci ini ialah ujian kekuatan kasih sayang antara anak dan ibubapa antara suami dan isteri. Alangkah indahnya melihat suami isteri berpegang tangan dengan erat sambil bersaie, berjalan bersama ke Masjidil Haram, suami menolak kerusi roda isteri yang uzur, suami melindungi isteri ketika tawaf. Alangkah romantiknya. Dalam keadaan bersusah melaksanakan ibadah keutuhan seorang suami membantu isteri, kasih sayang isteri terhadap suami jelas kelihatan.

Juga sangat mengharukan apabila melihat kasih anak kepada ibubapanya. Anak bersusah payah menolak kerusi roda, dengan kasih sayang anak memimpin ibunya yang uzur, anak yang menaja ibubapanya beribadah di tanah suci. Ibadah umrah dan haji di kota suci ini menggambarkan peribadi seorang anak terhadap kedua ibubapanya. Begitu iuga dengan ibubapa yang membawa anak kecil ke bumi suci ini. Jelas terpampang kasih sayang terhadap anak mereka. Anak kecil didukung, dibelai, dimanjakan dengaan penuh kasih sayang walaupun mereka sendiri bersusah payah melaksanakan ibadat umrah di bulan Ramadhan ini. Mungkin dengan melimpahnya kasih sayang ini, sesuatu akan dapat merubah nasib dan masa depan umat Islam satu masa nanti.

Keterujaan untuk Beribadah

Keinginan dan keterujaan beribadah itu jelas terlihat pada tetamu Allah. Mereka berebut-rebut dan berbondong-bondong ke Masjidil Haram untuk melaksanakan ibadah. Ada yang berumah dan berpengkalan di dalam Masjidil Haram tanpa pulang ke hotel penginapan, ada yang datang se awal mungkin untuk mendapatian saf yang selesa dan dekat dengan Kaabah. Ramai juga jemaah yang agak uzur sanggup mengeluarkan wang untuk menyewa teksi atau kenderaan lain dan mengupah seseorang semata-mata untuk memastikan mereka dapat beribadat dan beriktikaf dalam Masjidil Haram.

Keinginan untuk beribadah ini adalah sesuatu yang amat baik dan perlu dikekalkan momentumnya sehingga di mana-mana. Ramai juga jemaah yang terus berkampung di Masjidil Haram sepanjang ramadhan ini. Fenomena ini memang seumpama pesta iaitu pesta beribadah umat Islam. Cuma satu perkara yang diharapkan, iaitu keterujaan ini dapat diterjemahkan secara beristiqamah walau di mana kita berada. Keterujaan ini tidak sepatutnya terhenti apabila pulang ke tanahair. Amalan yang baik ini perlu diteruskan dan dibudayakan. Perlu juga diingatkan, keterujaan untuk beribadah ini juga sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan tugas lain secara berkesan dan beramanah walaupun ianya bukan bersifat ibadah khusus yang disebutkan dalam al Quran dan al Sunnah.


Kelihatan jemaah sedang berehat selepas penat beribadah di Masjidil Haram

Keikhlasan dan Kecekalan Tetamu Allah

Perkara yang begitu menyentuh dalam permusafiran kali ini ialah hebatnya semangatutk beribadah makcik dan pakcik warga emas. Sejurus keluar dari lapangan terbang dan kaunter ‘immigration’, kami perlu berjalan kaki untuk menaiki bas. Ada seorang makcik yang sangat uzur bongkok tiga menarik begnya yang besar berjalan menuju ke tempat bas. Kami membantu beliau dan penulis sangat kagum dengan semangat makcik ini untuk beribadah di bulan Ramadhan yang mulia ini. Makcik yang sama penulis saksikan cuba menghabiskan rukun umrah seperti tawaf dan saie dan lain-lain dengan begitu cekal tanpa ada sedikit kekesalan di wajahnya.

Terdapat juga warga kurang upaya, lumpuh, yang gigih melaksanakan ibadah. Mereka ini walaupun serba kekurangan, kekgigihan dan kecekalan beribadah kepada Allah dengan segala kepayahan di tanah suci ini begitu menginsafkan penulis. Cuaca sangat panas kering yang perit menambahkan lagi hormat penulis pada mereka ini. Mereka ini adalah jauh lebih baik daripada pemuda atau pemudi yang masih gagah dan bertenaga tetapi masih lalai dan hanyut dengan tipu daya dunia. Pada penulis kisah ini memberikan pengajaran yang mendalam tentang betapa amalan ibadah itu ditentukan dengan keikhlasan dan bukan dengan kuantiti amalan yang dilakukan.

Simposium Ekonomi Islam Dalla Baraka

Penulis mengambil kesempatan untuk menghadiri Simposium Ekonomi Islam Dalla Bara pada 5-6 Ramadhan. Menariknya simposium ini adalah kerana ianya dianjurkan buat kali ke-33 di Jeddah di dalam bulan Ramadhan. Terima kasih kepada Sheikh Saleh Kamel pengasas dan pemilik Dalla Baraka yang sentiasa konsisten dalam memartabatkan sistem ekonomi Islam. Kita perlu lebih ramai insan seperti Sheikh Saleh Kamel. Pernah satu ketika Sheikh Saleh Kamel secara terbuka menyatakan bahwa kewangan Islam yang ada pada waktu itu adalah tidak Islamik. Kenyataan ikhlas dan jujur Sheikh Saleh Kamel ini perlu ditiru dan diteladani oleh pengamal kewangan Islam yang lain.

Simposium bermula selepas tarawih bermula jam 10.30 malam dan berakhir lebih kurang jam 3.00 pagi diikuti dengan sahur. Tarawih diadakan di masjid berhadapan dengan hotel simposium berlangsung. Berkebetulan berpeluang bertarawih bersebelahan dengan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Dalla Baaraka. Sempat berbual ringkas dengan beliau dan seperti biasa, beliau sentiasa ramah melayan sesiapa walaupun penulis bukanlah orangnyang beliau kenali. Pemerhatian peribadi penulis terhadap DSAI sepanjang solat tarawih bersebelahan beliau. Beliau sangat tekun menunaikan solat tarawih tanpa sedikitpun berlengah-lengah untuk melambatkan takbir ekoran daripada bacaan surah yang panjang oleh imam. Pengalaman ini serba sedikit memberikan gambaran terhadap keperibadian beliau walaupun ini adalah Cuma pemerhatian umum penulis yang punya sedikit pengalaman bertarawih bersama dengan DSAI. Mungkin selepas ini jika ada peluang, boleh juga bertarawih bersebelahan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kehadiran ulama dan fuqaha besar muamalat berbincang mengenai isu kewangan Islam sememangnya tidak boleh dilepaskan. Dengan kehadiran delegasi yang mencecah ratusan dari seluruh dunia, simposium ini agak menggembirakan penulis kerana ianaya membuktikan bahawa masih ada golongan yang membudayakan ilmu walaupun di bulan Ramadhan yang sepatutnya memberi alasan untuk berehat setelah penat menunaikan puasa dan tarawih.

Sedikit kegusaran dihati penulis ialah tentang isi kandungan dan hala tuju perbincangan simposium. Setelah 33 tahun menganjurkan simposium ekonomi Islam ini, tema perbincangan adalah sangat bertumpu kepada aspek hukum. Bukanlah ianya menjadi satu kesalahan, tetapi berdasarkan pengalaman penulis menghadiri konferens ekonomi Islam dan yang seumpamanya yang lain, aspek selain daripada hukum juga diperbincangkan. Seminar di Melbourne, Kyoto, London, Milan, Durham, Leicester dan banyak lagi sudah lebih terkehadapan dengan tema perbincangan menjurus kepada aspek ‘inter-disciplinary’ termasuk etika. Ekonomi Islam bukan lagi sebagai satu sistem yang hanya prihatin pada konsep halal dan haram tetapi ianya juga perlu meletakkan etika dan setiap aspek berkaitan sebagai rujukan utama perlaksanaannya.


Simposium Ekonomi Islam Dalla Baraka Ke-33

Kenalan Baru dan Ziarah Sahabat di Jeddah

Kembara ilmu tidak akan melupakan agenda ziarah. Setiap kali kembara ilmu, penulis akan cuba pastikan dapat menziarahi mana mana sahabat yang ada di tempat yanng dilawati. Anjuran ziarah ini begitu diutamakan oleh Islam dan dalam masa yang sama dapat mengeratkan silaturahim sesama Islam. Begitu juga dengan peluang untuk mendapatkan kenalan baru. Pastinya akan ada kenalan baru pada setiap kali kembara ilmu penulis.

Kembara ilmu kali ini menemukan penulis dengan beberapa kenalan baru yang punya latar belakang berbeza tetapi punyai fikrah yang baik. Seorang pesara polis yang warak, pesara guru yang bersemangat dan jurutera yang berpengetahuan pada isu-isu semasa dengan baik. Sepanjang perbualan kami berkisar tentang Islam dan umat. Terfikir di hati, alhamdulillah, Allah telah menemukan penulis dengan individu yang baik dan punyai fikrah Islam dan seterusnya menambah pengalaman dan menajamkan lagi teknik dan kemahiran analisa dan pemerhatian terhadap sesuatu isu dengan lebih berkesan.


Bersama teman sebilik di Mat’am Safwa

Pada 26 Julai penulis bersama-sama Dr Ahmad Azam Othman, Pengarah Pusat Undang-undang Kuliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM dan saudara Mohd Shukur eksekutif Shariah Affin Islamic Bank pergi menziarahi sahabat yang berkelana di bumi Hijaz ini. Berkebetulan sahabat ini pernah menziarahi penulis ketika berada di bumi UK satu waktu dulu. Alhamdulillah, kerinduan kepada keluarga di Malaysia sedikit terubat dengan ziarah ini. Terima kasih Hanif dan isteri kerana menerima kunjungan kami dengan hati terbuka dan juadah beraneka rasa dan hebat. Ukhuwah dan ingatan anda sekeluarga adalah sangat penulis hargai dan semoga berjumpa lagi di lain masa. Sedikit kekesalan berlaku kerana benar benar terlupa untuk mengambil gambar semasa ziarah ini bersama keluarga Hanif dan Fatihah. Jika ada isteriku tersayang waktu itu sudah pasti ini tidak berlaku. Isteriku sentiasa perihatin dan cekap untuk merekodkan peristiwa penting yang berlaku dalam keluarga kami.

Ziarah Bumi Madinah

Catatan ini dinukilkan pada 15 ramadhan di Masjidil Nabawi sebelum dan selepas solat subuh sesudah selesai bacaan al Mathurat. Pada 14 Ramadhan penulis bertolak ke Madinah dengan menaiki. Saat ini sudah lama dinantikan. Beg perlu dikumpulkan seawal jam 10 pagi untuk tujuan pengumpulan. Sebelum bertolak ke Madinah, penulis terus segera melaksanakan tawaf wida’. Dengan melakukan tawaf di bawah panas matahari, kekhusyukan beribadah sedikit terganggu. Betapa nipisnya iman, hinggakan cabaran suhu panas sebeginipun pun sudah mampu menggugat kekhusyukan beribadah. Bayangkan para sahahat yang melalui pelbgai cabaran dan dugaan yang sungguh dahsyat. Mereka unggul dan terus kukuh beriman dan semua cabaran dapat ditempuhi dengan sabar dan penuh kecekalan.


Berbuka Puasa di R&R sebelum sampai di Madinah

Penulis bersama-sama jemaah lain bertolak ke Madinah lebih kurang jam 3 petang. Singgah berbuka puasa di Mata’m safwah kira kira 3 jam sebelum sampai di Madinah. Penulis sampai di Madinah jam 11 malam setelah menempuhi lebih kurang 8 jam perjalanan. Sedikit kehampaan kerana tidak sempat untuk bertarawih secara berjemaah di Masjidil Nabawi malam itu. Tanpa membuang masa setelah mandi dan bersiap, penulis terus bergegas ke Masjidil Nabawi untuk solat jamak ta’hir dan solat tarawih. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Allah untuk mengunjungi Madinah dan seterusnya dapat beribadat di Masjidil Nabawi.


Masjidil Nabawi

Menziarahi Rasulullah

Antara tempat seawal penulis lawati ialah makam Rasulullah. Perasaan kasih pada Rasulullah adalah suatu yang penulis tidak dapat gambarkan dalam catatan ini. Terasa sebak yang amat sangat apabila melihat sendiri makam Rasulullah bersama dengan sahabatnya yang agung, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al Khattab. Ya Rasulullah, aku dengan penuh rasa rendah diri menziarahimu. Aku mengagumimu, aku naik saksi bahawa engkau la Rasul akhir zaman. Ya Rasulullah, terimalah aku sebagai umatmu. Walau tak pernah ketemu, tapi perasaan kasih padamu hanya Allah yang tahu.


Makam Rasulullah, Saidina Abu Bakar Al Siddiq dan Saidina Umar alKhattab

Penulis terus bergegas ke kawasan Raudhah dengan hasrat untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Berdoa di Raudhah adalah antara tempat yang sangat mustajab doanya. Kelihatan jemaah berpusu-pusu ke tempat yang sama. Jika difikirkan betapa ramainya jemaah yang berebut-rebut ke Raudhah, sudah tentu ingin dibatalkan sahaja hasrat berbuat demikian. Memikirkan saat ini adalah waktu yang sangat berharga, penulis terus berusaha untuk sampai ke Raudhah dan alhamdulillah dengan sedikit usaha dan bantuan Allah sempat juga penulis melaksanakan solat sunat dan berdoa di Raudhah. Dengan penuh rasa syukur penulis panjatkan kepada Allah kerana memberikan peluang, kesihatan, umur, masa dan rezeki untuk berkesempatan menziarahi Rasulullah. Ya Allah kau tanamkanlah kasihku pada Rasulullah sebagaimana kasihnya para sahabatnya yang agung kepada baginda.

Ziarahi Para Shuhada

Para sahabat Rasulullah dikenali sebagai generasi al Quran. Generasi yang tiada tolok bandingnya. Makam al Baqi’ tempat di mana tersemadinya lebih 10000 sahabat Rasulullah termasuk isteri baginda Saiditina Aishah adalah tempat yahg mesti diziarahi oleh sesiapa sahaja yang mengunjungi Masjidil Nabawi. Mengingatkan kembali pengorbanan para shuhada ini yang mengabadikan hidup mereka sepenuhnya kepada Islam begitu menginsafkan. Para shuhada sahabat Rasulullah ini menghadapi kehidupan yang sukar dan cabaran yang sangat hebat di dunia, kehidupan yang menyibukkan mereka dengan pejuangan, kini mereka tenang dan beruntung, pasti bersama-sama Rasulullah di syurga Allah.

Menziarahi makam al Baqi’ yang terletak hanya bersebelahan dengan Masjidil Nabawi adalah satu kemestian. Mengingati manusia hebat yang mengorbankan segala-galanya kerana Allah dan rasulNya. Melihat kepada perjuangan para sahabat Rasulullah ini membuatkan penulis merasa sangat kerdil dan dhaif. Terfikir apakah yang telah kita sumbangkan untuk agama? Apa yang telah dibuat untuk Islam? Apa yang telah diinfakkan untuk Islam? Apa yang telah diusahakan untuk Islam?. Sesungguhnya makam al Baqi’ memberikan pengertian perjuangan yang begitu mendalam kepada diri penulis.


Makam Al Baqi’

Menjejaki Uhud

Pada 16 Ramadhan jam 7 pagi kami bertolak ke Jabal Uhud. Peperangan Uhud merupakan satu-satunya peperangan yang melibatkan kekalahan di pihak Islam. Pada penulis, Uhud merupakan detik penting sejarah kebangkitan kaum Muslimin di Madinah. Setelah menang besar dalam perang Badar dan memalukan kaum musyrikin Mekah dengan hebat, kemenangan itu serba sedikit menanamkan keyakinan untuk menang pada masa mendatang. Akibat daripada tidak patuh pada perintah Rasulullah, akhirnya pihak Muslimin berjaya ditewaskan.


Ilustrasi Peperangan Uhud

Pada penulis, Allah sengaja memilih uhud ini sebagai medan pengajaran terpenting untuk umat Islam sejak awal-awal lagi. Ini kerana Uhud merupakan perang kedua selepas perang Badar pada tahun 3 hijrah. Kekalahan perang Uhud walaupun pada umumnya kekalahan umat Islam tetapi ianya merupakan detik bermulanya kemenangan berterusan pada masa mendatang. Setelah meneladani dan menginsafi punca kekalahan Uhud, Rasulullah dan tenteranya tidak pernah kalah dalam apa sahaja peperangan selepas itu. Ini bermakna pengajaran yang diberikan oleh Allah pada peperangan Uhud di awal permulaan pemerintahan Islam di Madinah memberikan kekuatan kepada umat Islam untuk terus bangkit memperjuangkan agama Allah ini.


Berlatarbelakangkan Jabal Uhud

Kekalahan dalam peperangan Uhud bukanlah disebabkan oleh kekuatan musuh tetapi ianya adalah akibat daripada ketidakpatuhan arahan Rasulullah. Hingga mengakibatkan Rasulullah luka parah dan bapa saudara kesayangan Rasulullah juga syahid menemui Tuhannya. Besar sungguh akibatnya daripada ketidakpatuhan ini. Mesej dalam peperangan Uhud ini amat penting kepada umat Islam. Kegagalan untuk mematuhi ajaran Rasulullah hanya akan membawa kehancuran kepada umat Islam.


Makam Shuhada Uhud

Memanjat Jabal Rumah iaitu tempat pemanah Islam yang akhirnya meninggalkan kawasan mereka dan tidak mematuhi arahan Rasulullah memberi pengajaran yang amat besar kepada penulis. Dengan melihat sendiri bentuk muka bumi kawasan peperangan Uhud, dengan bukit bukau serta kesusahan untuk melaksanakan teknik perang dan kesukaran untuk memanjat bukit dan tiadanya sumber air, benar benar menginsafkan penulis. Cuaca panas perit menambahkan lagi keinsafan ini. Terbayang kehebatan para sahabat memperjuangkan Islam dalam keadaan serba kekurangan. Islam pada hari ini adalah hasil jihad dan pengorbanan para sahabat. Sebahagian besar mereka syahid dan gugur dalam peperangan dan sebahagian besar mereka juga syahid semasa menyampaikan dakwah Islam di seluruh dunia. Jika tidak, tiadalah kita berjumpa makam Saidina Ayub al Ansari yang tersemadi di pinggir kota Istanbul. Saidina Ayub al Ansari yang dipilih oleh Rasulullah untuk menginap di rumahnya setibanya di Madinah semasa hijrah akhirnya syahid di Istanbul, Turki. Betapa besar pengorbanan para sahabat Rasulullah.


Bersama Mutawif, Ustaz Fahrizal di puncak Jabal Rumah, tempat pemanah Muslimin semasa peperangan Uhud

Masjid Quba Simbolik Kesatuan Ummah

Menziarahi masjid Quba adalah umpama mimpi di dalam mimpi. Sebelum ini, penulis hanya tahu mengenainya melalui buku sejarah, iaitu masjid Quba sebagai masjid pertama dalam sejarah Islam. Pada penulis, masjid Quba memberikan pengajaran yang begitu agung ditunjukkan oleh Rasulullah. Masjid Quba menjadi simbolik kesatuan ummah. Ia berfungsi bukan sahja sebagai pusat ibadah tetapi pusat masyarakat. Ini bermakna di mana sahaja umat Islam tinggal, masjid merupakan institusi yang mesti dibina oleh umat Islam. Kehadiran masjid sebagai institusi kemasyarakatan dan umat memainkan peranan yang amat penting dalam segenap kehidupan.

Dalam mengingati masjid Quba ini, teringat juga kisah masjid Dhirar yang dibina oleh golognan munafik semasa perang Tabuk seperti yang dikisahkan dalam ayat 107 dan 107 surah al Tawbah. Masjid ini dibina dengan pembiayaan golongan munafik dengan tujuan untuk memecahbelahkan umat Islam. Malahan Rasulullah dijemput untuk datang melawati masjid tersehut. Setelah Rasulullah tahu niat mereka ini, Rasulullah telah mengarahkan para sahabat untuk meruntuhkan masjid tersebut dan jadikan kawasan masjid tersebut tempat pembuangan sampah sebagai penghinaan kepada golongan munfik. Ini membuktikan bahwa masjid Dhirar ini bukan berfungsi sebagai institusi kesatuan ummah dan apabila peranannya telah tersasar malahan membahayakan kedudukan umat Islam maka ianya wajib dimusnahkan dengan arahan Rasulullah.

Menziarahi masjid Quba mengingatkan penulis bagaimana strategi Rasulullah dalam menyatukan masyarakat. Setibanya di Madinah, perkara pertama dilaksanakan adalah mendirikan masjid. Itulah kadan-kadang penulis merasa kesal dan sedikit pelik tentang amalan yang ada berlaku di Malaysia. Masjid dijadikan institusi yang akhir sekali dibina di sesetengah tempat. Masjid tiada dalam perancangan awal sesuatu projek perumahan. Lebih menyedihkan ialah ada sebuah universiti yang menjadikan asas ilmu Islam sebagai visi dan misi tetapi masjid hanya dijadikan sebagai institusi akhir yang dirancang pembinaannya. Dengan ribuan warga universiti, yang ada hanya tapak masjid yang saban tahun menanti dan menanti untuk pembinaan. Adakah peristiwa masjid Quba ini gagal untuk difahami atau mereka terlupa dengan peristiwa penting ini. Penulis masih berfkikran positif dan husnu al zan dalam isu ini. Mungkin ada faktor yang sangat kuat untuk tidak membina masjid sebagai institusi awal yang perlu dibina di universiti ini. Wallahua’lam.


Masjid Quba’

Tarawih di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi

Sering kali sejak dari bangku sekolah berkeinginan untuk solat tarawih di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Bacaan merdu dan menyentuh hati imam dua masjid suci ini dengan witirnya yang menggamit hati menjadikan impian itu semakin terasa. Akhirnya Allah telah mengizinkan dan menunaikan impian penulis. Bertarawih di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi dengan 20 rakaat solat sunat tarawih dan tiga witir adalah sesuatu yang tidak akan dilepaskan.

Kebiasaannya amalan di Masjidil Haram akan melewatkan Isyak selama setengah jam bagi membolehkan jemaah membuat persediaan selepas berbuka. Di Masjidil Haram, jemaah dinasihatkan sekurang-kurangnya berada di masjid sejam lebih awal bagi memastikan mendapatkan saf yang selesa. Ini memandangkan dalam keadaan cuaca yang panas, kawasan berhawa dingin Masjidil Haram adalah amat terhasd. Di Masjidil Nabawi, keadaan sedikit berlainan, ini kerana ianya tidaklah sepadat Masjidil Haram dan sebahagian besar kawasan masjid adalah berhawa dingin.

Masjid di Arab Saudi juga tidak akan mendahului Masjidil Haram walaupun waktu terlebih awal masuk. Solat tarawih dilaksanakan selama lebih kurang dua jam iaitu antara 9.15-11.15 dan kadangkala berlanjutan sehingga 11.30. Walaupun dua jam tetapi dengan alunan merdu dan bersemangat imam Masjidil Haram seperti Abdul Rahman Sudais, Usama Abdulla Khayyat dan imam Masjidil Nabawi seperti Salah al Budair, Ali Abdullah al Hudaifi dan Muhammad al Subayl, solat tarawih itu tidaklah menjadi kesukaran. Pada penulis Abdul Rahman Sudais imam Masjidil Haram dan Salah al Budair imam Masjidil Nabawi tetap menjadi pilihan utama. Dengan keunikan suaranya, teknik bacaan dan semangat bacaan, beliau merupakan imam pilihan dan kesukaan penulis. Di tambah pula dengan fadilat yangberlipat ganda, solat tarawih di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi adalah saat yang tidak boleh dilupakan.

Antara keunikan solat tarawih di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi ialah witirnya yang panjang. Ada witir yang diselangi qunut hingga mencecah 30 minit lamanya. Walaupun lama penulis tetap menikmati dan mengikuti witir ini. Qunut witiryang penuh bermakna ini sememangnya perlu diaminkan oleh semua jemaah memandangkan ianya menyentuh hampir keseluruhan aspek doa kita kepada Allah. Ia juga menyentuh soal solidariti sesama Muslim, mengingatkan kesatuan umat dan dalam masa yang sama mengabdikan diri kepada Allah.


Dalam Masjidil Nabawi

Berbuka Puasa di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi

Kelainan yang ada ketika berbuka puasa di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi ialah tiadanya keinginan untuk mendapatkan pelbagai juadah seperti di Malaysia. Tiada bazar Ramadhan, tiada pesta makan, tiada makanan yang berlebihan. Bagi penulis, cukup dengan air zam zam dan kurma. Menu ringkas ini sudah cukup untuk memberikan ketahanan untuk beribadat dan bertarawih dengan selesa dan bertenaga.


Menunggu waktu berbuka puasa di Masjidil Haram

Ketika waktu berbuka puasa ini juga ramai yang pemurah dan berkongsi makanan serta ada yang mengagihkan makanan dan air. Terdapat di mana-mana jemaah yang bersedekah dan menyumbang makanan kepada jemaah lain. Pernah satu hari ketika berbuka puasa di Masjidil Haram, penulis hanya ada beberapa biji buah tamar dan berkebetulan jemaah di sebelah tiada apa-apa untuk berbuka, iaitu hanya ada air zam zam. Teringat pelbagai kisah Rasulullah dan para sahabat tentang kisah berkongsi makanan dengan yang memerlukan, penulis terus berkongsi buah tamar dengan beliau. Itulah kali pertama penulis berbuka hanya dengan 2 biji tamar dan air zam zam. Kepuasan jelas terbayang kerana dapat berkongsi sesuatu dengan saudara seIslam walaupun tidak mengenalinya.

Berbuka puasa di Masjidil haram dan Masjidil Nabawi juga adalah pengalaman yang sungguh berharga. Setelah azan berkumandang, semua jemaah berbuka puasa dan lima minit selepas itu akan terus mengerjakan solat Maghrib. Dengan berbekalkan buah tamar dan air zam zam, tarawih dapat dilaksanakan dengan lebih selesa. Tambahan pula tarawih di dua masjid suci ini memakan masa yang agak panjang iaitu lebih kurang dua jam atau lebih. Perut tidak boleh terlalu kenyang dan disumbat dengan makanan berat yang hanya akan jadi masalah dan ketidakselesaan untuk beribadah.


Menunggu waktu berbuka puasa di Masjidil Nabawi


Suasana berbuka puasa di Masjidil Nabawi

Solat Jumaat di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi

Alhamdulilah di kesempatan ini juga penulis berpeluang untuk menunaikan solat Jumaat di dua masjid suci ini di dalam bulan Ramadhan yang mulia. Ya Allah, betapa besar nikmat dan kurniaan yang kau berikan. Solat Jumaat di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi memberikan pengertian yang amat hesar kepada penulis. Inilah solat Jumaat yang paling hebat dihadiri penulis, dengan jemaah yang mencecah jutaan orang dari seluruh dunia.

Merenung kepada isi kandungan khutbah, teringin sangat rasanya mengembara zaman lampau untuk menikmati khutbah Rasulullah. Sudah pasti khutbah Rasulullah adalah khutbah yang paling agung yang pastinya akan menyentuh setiap aspek utama kehidupan umat. Khutbah wida’ baginda sahaja sudah cukup bukti betapa sempurnanya khutbah Rasulullah. Betapa geniusnya beliau menyampaikan mesej Islam. Betapa hebatnya kemahiran berpidato Rasulullah. Betapa agungnya kesempurnaan Rasulullah. Menyedari ada susuk tubub Rasulullah di dalam Masjidil Nabawi ini, lebih lagi membuatkan kekaguman dan kecintaan kepada Rasulullah. Ikhlas di hati ini, setiap kali berada di Masjidil Nabawi akan sentiasa teringat akan Rasulullah yang jasadnya tersemadi di dalamnya bersebelahan dengan Raudhah.


Di depan Masjidil Haram

Hari raya Bukan Keutamaan

Di Malaysia, pada waktu ini, akan riuh kedengaran iklan-iklan hari raya di television, radio dan media massa yang lain. Di pusat beli belah juga terdapat pelbagai promosi hari raya. Jemaah masjid akan mula berkurangan di akhir Ramadhan. Lagu-lagu raya akan mula dimainkan di television dan corong radio. Pelbagai program hiburan dianjurkan sempena sambutan hari raya. Fenomena ini agak menyedihkan. Tidak sepatutnya ini berlaku kerana Ramadhan adalah lebih afdhal dan Rasululah telah mengajar kita bagaimana untuk melakukan ibadah dan mengimarahkan Ramadhan.

Berbeza dengan amalan yang berlaku di Malaysia, sepanjang pengetahuan penulis, tidak terdapat program yang khusus untuk hari raya sama ada di television atau media masa. Kurangnya promosi hari raya tetapi Ramadhan begitu diimarahkan. Kehadiran jemaah di Masjidil Haram sama sekali tidak berkurang. Malahan kuantitinya makin bertambah ramai hari demi hari seiring dengan kemuncak Ramadhan. Penulis dapat merasakan peningkatan luar biasa kehadiran jemaah ke Masjidil Haram. Jika di awal Ramadhan bahagian berhawa dingin Masjidil Haram masih lagi dingin tetapi dipertengahan Ramadhan ini, bahagian ini tidak lagi sejuk kerana kini sesak dipenuhi jemaah. Jika sebelum ini, jemaah perlu hadir sejam awal untuk daptkan saf yang selesa dan baik, kini jemaah perlu datang sekurang kurangnya satu jam setengah atau dua jam sebelum masuk waktu. Apatah lagi pada hari Jumaat. Bagi memastikan jemaah dapat tempat di dalam Masjidill Haram, mereka dinasihatkan datang seawal waktu kira kira dua atau tiga jam sebelum masuknya waktu solat Zuhur.

Mengembalikan Mekah dan Madinah Sebagai kota ilmu

Satu masa dahulu, kota Mekah dan Madinah merupakan pusat kecemerlangan ilmu. Seluruh dunia mengunjungi dua kota suci ini untuk mendapatkan ilmu dan mendalami ilmu pengetahuan. Buya Hamka bermusafir ke Mekah dan akhirnya menjadi manusia hebat mampu menghasilkan Tafsir al Azhar. Sheikh Daud al Fatani, Sheikh abdulkah fahim dan ramai lagi, menjadi ulama hebat sekembalinya mereka dari menuntut ilmu di bumi hijaz ini.


Majlis Ilmu di Masjidil Haram


Majlis Ilmu di Masjidil Nabawi

Malangnya, kota Mekah dan Madinah kini tidak lagi boleh megah dengan legasinya sebagai pusat kecemerlangan ilmu. Umat Islam mengunjungi kota suci ini dengan matlamat utama untuk beribadat dan bukan lagi untuk mendalami ilmu pengetahuan. Tiada lagi ulama hebat dapat dilahirkan, tiada lagi tokoh masyarakat dikeluarkan dari kota suci ini. Jika adapun, lulusan yang keluar daripada institusi ilmu di dua kota suci ini tidak lagi sehebat ulama dahulu. Malahan ada segelintir mereka yang hanya tahu menghentam dan berdiskusi tentang bidaah bahkan ada juga yang menggelar ulama tidak bersependapat dengannya sebagai sesat. Lebih parah lagi, kelihatan unsur kapitalisma itu semakin menular. Jemaah sibuk membeli belah setelah beribadat dan ramai juga yang beribadat hanya dari dalam pusat beli belah.


Salah sebuah kedai buku di ‘Zam zam Tower’

Sebagai bukti terabainya budaya ilmu di kota suci ini ialah keadaan kedai bukunya dan perpustakaannya. Sepanjang pengetahuan penulis, tidak terdapat perpustakaan atau perpustakaan hebat yang wujud di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi dan kawasan sekitarnya mahupun di bandar Mekah dan Madinah. Tiada kedai buku yang hebat seperti mana terdapat di negara maju seperti Barnes and Noble di New York, Hatchards dan Borders di London atau sekurang-kurangnya Kinokuniya atau MPH di Kuala Lumpur. Kedai buku yang terdapat di sini hanya kecil sahaja dan kurang dikunjungi berbanding kedai barangan lain. Koleksi bukunya juga tidak lengkap dan tidak terkini. Hanya terdapat beberapa rak buku yg kebanyannya berbentuk ringan yang pada penulsi tidak ada salahnya tetapi serba sedikit melambangkan tahap pembacaan umat.


Salah sebuah kedai buku di sekitar Masjidil Nabawi


Antara koleksi yang dibawa pulang ke tanahair

Terabainya Pemeliharaan dan Pemuliharaan Tempat Bersejarah dan Kesan-kesannya

Di antara tempat yang menjadi pilihan utam penulis setiap kali kembara ilmu ialah muzium. Antara muzium hebat yang pernah dilawati ialah ‘the Louvre’ di paris dan British Museum di London. Sentiasa mengagumi bangsa-bangsa maju ini memelihara kesan sejarah dan legasinya. Generasi muda dengan mudah dapat mempelajari sejarah silam generasi sebelum mereka dengan mengunjungi muzium ini dan seterusnya menyaksikan sendiri sejarah bangsa dan ketamadunan mereka.

Penulis cuba untuk melawati muzium peninggalan sejarah kota suci ini. Hampa kerana gagal untuk mengunjungi Muzium Mekah kerana ianya hanya dibenarkan masuk melalui permit dan pada bulan Ramadhan ianya hanya dibuka dari jam 9-12 tengahari. Walaupun berusaha untuk mengunjungi muzium ini, penulis kali ini tidak berkesempatan untuk berbuat demikian. Penulis tidak pasti apakah sebabnya, masyarakat di sini tidak langsung mesra dengan sejarah dan khazanah silam. Dengan dua kota suci ini, berbekalkan sejarah yang sarat dengan pengajaran dan pedoman, sepatutnya terdapat muzium yang hebat dari segi koleksinya dan mesra pelanggan.

Selain daripada itu, tempat-tempat bersejarah perlu dipelihara dan dipulihara serta ditambah baik agar ianya terus jadi tumpuan tetamu Allah menziarahinya. Terdapat beberapa masjid bersejarah yang terpaksa dirobohkan dan dilenyapkan atas faktor pembangunan dan penyediaan penginapan untuk jemaah yang mengunjungi kota suci ini. Masjid saidina Hamzah misalnya telah digantikan dengan hotel Hilton dan pada hari ini kita tidak dapat melawati masjid ini kerana ianya hanya tinggal kenangan. Dilaporkan sehingga kini 400-500 tempat bersejarah di kota Mekah dan Madinah telah dilenyapkan. Keadaan ini sungguh merisaukan.


Pembangunan Pesat di Sekitar Kawasan Masjidil Haram

Ternyata perkara ini tidak diambil perhatian yang sewajarnya oleh umat Islam. Tempat bersejarah tidak dikelola dengan baik, malahan ada yang sudah dimusnahkan atau dikorbankan atas nama pembangunan. Tahukah kita bahawa rumah Saidatina Khadijah ketika di Mekah adalah dibelakang rumah Abu Sufian berdekatan dengan Masjidil Haram. Pernahkah kita terfikir untuk sekurang -kurangnya meletakkan batu tanda terletaknya rumah Rasulullah ini supaya setiap generasi akan tahu perkara ini dan cuba menghayatinya. Pada penulis, kota suci ini sudah mula hilang ruhnya, sudah mula pudar sifatnya yang menyimpan seribu khazanah sejarah Islam. Mungkin satu hari nanti sekiranya tiada usaha memelihara khazanah silam ini, kita hanya mampu bercerita kepada anak cucu tentang sejarah Islam tapi tidak dapt menunjukkan dan membuktikannya berikutan lenyapnya semua khazanah tersebut.

Krisis Adab Penyakit Umat Islam

Terfikir sejenak, apakah perlu penulis menempatkan ruang refleksi tentang akhlak dan adab umat Islam sepanjang umrah dan ziarah kali ini. Dibimbangi ianya hanya akan menampakkan penulis cenderung berfikiran negatif. Setelah berfikir dan terus berfikir, penulis merasakan aspek adab dan akhlak ini perlu juga dikongsikan demi memberikan tauladan kepada diri penulis sendiri. Beberapa persoalan perlu dilontarkan yang perlu dijawab oleh umat Islam. Teringat syair bertajuk ‘Shikwa’ oleh Muhammad Iqbal di mana beliau pernah dituduh sebagai syirik. Dalam syair ini iqbal mempersoalkan beberapa perkara kepada Allah tentang apa yang berlaku kepada umat Islam. Akhirnya beliau mengarang syair bertajuk ‘Jawab Shikwa’ yang menjawab sendiri syair Shikwa ini dan selanjutnya menafikan kesyirikan beliau.

Setelah membuat pemerhatian dan pengalaman secara ringkas, penulis mengakui bahawa umat Islam dilanda krisis adab dan akhlak yang serius. Maka benarlah apa yang diungkapkan oleh Syed Naquib al Attas yang menyatakan peri pentingya adab sebagai salah satu asas utama puncak ketamadunan. Tanpa adab tiadanya tamadun.

Pengalaman pertama kurang menyelesakan ialah ketika dalam penerbangan dengan Saudi Airlines. Pramugarinya tidak senyum dan kasar bahkan penulis sempat melihat bagaimana pramugari ini hanya mencampakkan dengan kasar pek makanan kepada penumpang yang sedang membaca dan tidur. Ini kali pertama, penulis melihat pramugari yang kurang beradab dan tidak mesra pelanggan.

Sesudah sampai di Jeddah, sekali lagi pengalaman buruk. Kami dihantar menaiki bas untuk ke terminal yang agak jauh dari kapal terbang mendarat. Dengan kurang adab mereka menjerit-jerit mengarahkan penumpang untuk mengikut arahan. Apabila sampai di terminal, kami terpaksa menunggu beberapa jam untuk urusan imigresen. Dengan kasar dan tanpa senyum passport kami dicop dan diberikan laluan.

Bukan itu sahaja, krisis adab ini juga ada berlaku di Masjidil Haram. Berebut dan bertengkar kerana isu saf, bergaduh kerana air zam zam, bertengkar kerana tolak menolak, pijak memijak, langkah melangkah dan pelbagai insiden yang lain. Pengalaman melihat pergaduhan ketika berbuka puasa juga begitu menyedihkan. Pernah penulis ditolak dengan begitu kasar semasa di dalam saf. Punya pengalaman juga dimarahi di kaunter hotel penginapan kerana meminta kunci tambahan bilik.

Paling menyedihkan ialah tahap kebersihan dan sikap umat Islam pada kebersihan. Memang tidak dinafikan Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi adalah bersih, tetapi ianya bersih kerana petugasnya dan bukan kerana sikap umat Islam. Kelihatan sampah bertaburan yang begitu banyak terutamanya selepas waktu berbuka puasa. Alangkah malangnya kerana amalan berpuasa dan ibadah di dua masjid suci ini gagal untuk mendidik jiwa agar mencintai kebersihan.


Sampah dibuang sesuka hati selepas waktu berbuka puasa

Di jalanraya pula juga tiada adab dan akhlak. Memandu sesuka hati, hon kereta sesedap rasa, tiada peraturan dan mementingkan diri sendiri. Terdapat peniaga yang kurang beradab. Tidak mengucap terima kasih, tiada senyum, tiada layanan yang mesra dan baik. Pernah sekali penulis menukar wang dan peniaga tersebut hanya mencampakkan wang tersebut kepada penulis dan sedikitpun tiada kekesalan dan tiada ucapan terima kasih. Penulis juga diberikan peluang oleh Allah untuk melihat sendiri kes ragut apabila polis mengejar peragut dan berjaya menangkapnya. Ya Allah, di kala bumi suci ini, ada juga indvididu yang terlibat dalam kesalahan seumpama ini. Kadangkala pengalaman ini membenarkan kata-kata Sheikh Muhammad Abduh yang menyatakan bahawa aku jumpa Islam di mana majoritinya bukan Islam dan aku dapati tiadanya Islam di negara majoritinya umat Islam. Pengalaman di bumi Hijaz ini seakan membenarkan kata-kata beliau dan semestinya sesuatu mesti dilakukan untuk merubah keadaan ini.

Budaya Tidak Menepati Masa

Di antara perkara yang jelas kelihatan pada kembara ilmu kali ini ialah suburnya budaya tidak menepati masa di kalangan umat Islam. Dari kapal terbang, bas, teksi dan lain-lain semuanya gagal menepati masa. Jika waktu bertolak dijangkakan pukul 2 petang, pasti paling awal ianya berlaku ialah sama a da setengah jam lewat hingga adakan sejam terlewat. Ini menunjukkan betapa umat Islam memandang remeh tentang masa. Teringat pengalaman ketika di Jepun, Jerman, Norway, Uk, Australia, Switzerland, Luxembourg, Perancis, Belanda dan negara-negara maju lain, ketepatan masa dan waktu adalah budaya. Mungkin juga inilah antara faktor kemunduran umat Islam.

Kegagalan menepati masa ini juga berlaku pada individu dan akhirnya membawa kepada amalan negatif yang lain. Sebagai contoh, amalan berlumba lumba untuk mendapat saf depan di Masjidil Nabawi mahupun Masjidil Haram membuatkan ramai yang sudah hilang kewarasan dan adab. Sudahlah lambat tetapi masih mahu mendapatkan saf depan dan akan melakukan pelbagai helah serta mengetepikan orang lain yang datang awal. Tanpa segan silu terus melangkah barisan, memijak, berebut, menolak dan berbagai amalan buruk yang lain. Tidakkah mereka sedar, jika inginkan saf yang selesa, datanglah awal dan bersiap sedia seawal mungkin agar tidak mengganggu jemaah lain.

Amalan lambat dan tidak tepati masa ini terbawa-bawa hinga ke waktu solat. Bahkan ianya jua dibawa ketika di Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram yang suci. Melalui pengalaman ini, tidaklah mengejutkan bahawa umat Islam pada hari ini sentiasa dipandang rendah. Hal ini bukanlah kesalahan orang lain, tetapi menjadi kesalahan umat Islam sendiri. Yang menyedihkan, masih ramai yang tidak menyedarinya bahkan terus-terusan meneruskan budaya ini. Penulis mengharapkan bahawa suatu hari nanti budaya ini akan berubah, sesuai dengan saranan al Quran yang sentiasa menyeru ke arah menghormati masa dan menepati waktu.

Antara Peminta Sedekah dan Pengambil Kesempatan

Terdapat beberapa individu peminta sedekah yang ada di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. Ada antara mereka yang benar-benar memerlukan dan ada juga yang mengambil kesempatan. Peristiwa pertama, seorang wanita dengan mendukung anaknya meminta wang betul-betul sebelum waktu berbuka puasa. Penulis terus tanpa berfikir menghulurkan sedikit bantuan kepada wanita tersebut. Peristiwa kedua, ketika penulis ingin membeli makanan, ada seorang lelaki tua mengikuti ke mana sahaja penulis pergi dan akhirnya penulis bertanya apa yang beliau mahu. Beliau meminta wang untuk membeli makanan. Penulis terus memberikan sedikit wang dan kelihatan beliau terus dengan gembira membeli makanan yang dimahukan. Dua kes ini adalah kisah yang penulis anggap betul dan perlu dibantu tanpa ada ragu ragu.

Di dalam kes yang seterusnya ialah ketika di Masjidil Nabawi. Ketika penulis membaca al Quran sambil menunggu masuk waktu Isyak, datang seorang lelaki pertengahan umur. Beliau mengaku dari India dan berkenalan. Beliau sangat ramah dan memuji-muji Malaysia bagus setelah tahu penulis berasal dari Malaysia. Tanpa berlengah beliau menceritakan kesusahan beliau dan tiada wang keperluan. Beliau meminta sumbangan. Sebelum penulis sempat hendak menghulurkan bantuan beliau telah menetapkan berapa sumbangan yang beliau hendak. Ini menimbulkan keraguan pada penulis. Walaupun begitu dalam bulan Ramadhan yang mulia ini penulis hulurkan juga sedikit bantuan. Lelaki tadi terus beredar ke tempat lain dan penulis percaya dia menggunakan modus operandi yang sama kepada aorang lain untuk mendapatkan wang.

Beberapa minit selepas lelaki tersebut beredar datang pula lelaki lain yang mendekati penulis. Beliau juga amat ramah dan menceritakan perkara dan kisah yang hampir seratus peratus sama dengan lelaki sebelum tadi. Ini meyakinkan penulis bahawa lelaki ini juga adalah penipu. Lelaki ini adalah orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain. Beliau tidak berhak untuk bantuan sedikitpun. Penulis hanya abaikan lelaki ini dan berkata bahawa beliau adalah lelaki kedua yang sentiasa menipu tidak kira dalam bulan Ramadhan. Bukan itu sahaja, di mana-mana di sekitar masjid suci ini akan ada yang cuba mendekati anda dan menceritakan kesusahan mereka sedangkan kita boleh tahu yang mereka sememangnya penipu jalanan yang sentiasa menjadikan indvidiu yang baik itu mangsa nafsu dan kemalasan mereka bekerja.

Begitulah manusia ini yang suka mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu. Penulis telah saksikan betapa susahnya lelaki tua yang ingin mendapatkan sedikit wang di tengah panas menjual kayu sugi dan wanita tua bersusah payah menjual kain. Tidak tahu berapa pulangan yang beliau dapat dengan jualannya. Tidak dapat bayangkan betapa tabahnya lelaki dan wanita tua itu mendapatkan rezeki dengan usaha yang semampunya. Dalam keadaan ini terdapat pemuda yang masih gagah dan sihat terus meminta sedekah dan menipu orang ramai demi mendapatkan wang yang tidak halal. Sesungguhnya, manusia seperti inilah yang merosakkan nama Islam dan tidak sepatutnya dibiarkan berkeliaran dan bebas.

Penghargaan Kepada Petugas Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi

Di tengah tidak keberkesanan dan tidak keefisyenan pelbagai perkara di bumi Hijaz ini, adalah tidak adil sekiranya penulis tidak menyentuh peranan petugas kedua-dua masjid suci ini. Petugas ini terdiri dari pekerja yang menjaga kebersihan masjid dan yang membantu urusan-urusan lain seperti menyusun al Quran dan lain-lain. Menurut sejarah, petugas dua masjid suci ini memang menjadi legasi dan amalan sejak turun temurun dari zaman Umaiyah, Abbasiah hinggalah Uthmaniah. Diakui bahawa petugas ini adalah bersikap professional dan menjalankan tugas degan penuh dedikasi dan berkesan. Kebersihan dijaga dengan amat baik. Mereka juga mempunyai adab ketika bertugas. Perkataan ‘toriq, toriq, haji, haji’ merupakan kata kata beradab dan bersopan mereka memohon laluan kepada jemaah untk menjalankan tugas.


Kelihatan petugas Masjidil Haram sedang menjalankan tugas


Stor tempat menyimpan air zam zam untuk jemaah di Masjidil Haram

Ketika solat tarawih mereka akan sibuk mengambil air zam zam dan berikan pada jemaah yang dahaga. Mereka tidak marah jemaah dan senyum menjalankan tugas. Petugas ini juga tidak meminta-minta atau menipu untuk mendapatkan wang. Ikhlas dari hati penulis, petugas Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi adalah contoh petugas yang mampu bekerja dengan amanah dan baik di bumi Hijaz ini. Walaupun mereka hanya pencuci, pembersih, penyapu sampah, pengelap lantai dan lain-lain tetapi keihklasan dan keberkesanan mereka menajalankan tugas menjadikan tugas mereka adalah mulia.

Ole-ole dan Ladang Kurma

Penulis telah dibawa melawat ladang kurma dipinggir kota Madinah. Kurma yang sedang masuk ranum begitu menerujakan penulis. Kota Madinah memang terkenal dengan indsutri pertanian terutamanya tanaman kurma dengan pelbgai jenis. Sudah tentulah kurma ajwa, kurma Rasululluah jadi pilihan untuk dijadikan ole ole ke Malaysia. Sedikit nasihat kepada mana-mana individu yang ingin membeli tamar. Dinasihatkan untuk membeli tamar ini di ‘Suq Tamar’ atau Pasar Kurma di Madinah dan bukan di kedai sekitar Masjidil Nabawi atau Masjidil Haram mahupun di ladang kurma. Ini kerana tamar di Pasar Kurma mempunyai harga termurah dan sangat berbeza dengan tempat yang lain. Sebagai contoh, kurma ajwa di kedai sekitar Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi boleh mencecah SAR80-100 sekilogram, harga di ladang kurma juga antara SAR90-100 manakala harga di Pasar Kurma boleh didapati pada 50-60 sekilogram. Selain itu, coklat, buah tin dan apricot dan minyak wangi juga menjadi pilihan. Ole-ole ini sudah tentunya sebagai tanda ingatan kepada keluarga dan sahabat di Malaysia.


Suq Tamar di Madinah


Ladang Kurma di Madinah


Suasana di Kedai Peladang Tamar

Dalam kegembiraan membeli ole-ole ini dan melihat kurma yang sedang masak ranum ini, penulis terus teringat kisah yang berkaitan dengan golongan munafik dan yang terpengaruh dengannya di dalam surah al Tawbah. Peperangan Tabuk yang berlaku pada waktu masak ranumnya kurma di Madinah pada waktu itu membuatkan ada segelintir muslimin dan kaum munafik yang ingkar arahan Rasulullah untuk pergi berperang. Ini memandangkan pada waktu ini mereka ingin menikmati hasil tanaman mereka iaitu kurma yang sedang masak ranum. Akhirnya dengan keingkaran mereka Allah telah mencela mereka yang ingkar ini di dalam surah al Tawbah. Begitulah manusia ini, ramai yang tidak tahan dengan ujian terutamanya ujian kekayaan dan harta. Hinggakan arahan Rasulullah juga boleh ditinggalkan dan dipertikaikan semata-mata kerana dunia yang fana dan sementara ini.

Selamat Tinggal Bumi Mekah dan Madinah

Jadual perjalanan ditetapkan akan pulang ke Malaysia pada 17 Ramadhan. Berkebetulan jatuh pada sambutan Nuzul al Quran. Setelah lebih dua minggu beruzlah dan beribadah di dua kota suci ini, ianya merupakan kembara spiritual yang sangat memberikan kesan kepada penulis. Dengan kembara berseorangan sendirian tanpa keluarga di sisi, memberikan peluang kepada penulis untuk menumpukan sepenuhnya masa dan ruang untuk beribadah, beruzlah, muhasabah diri, berfikir dan bertafakkur. Moga Allah menerima segala amal ibadatku dan diampuni segaka dosa dosaku. Moga dimakbulkan doa-doa ku, doa-doa untuk ibubapaku, isteriku, anak-anakku, ibubapa mertuaku, keluargaku. Juga moga diterima Allah doa-doa untuk pelajarku, jemaahku, universitiku, fakultiku, bankku dan yang lain-lain.

Meninggalkan kota suci ini meninggalkan seribu satu kenangan. Ada yang baik dan ada yang kurang baik. Sudah pasti hanya yang baik akan ku bawa pulang dan tersemat kukuh di hati. Menunaikan umrah, puasa, tarawih dan ibadah lain di tanah suci di dalam bulan Ramadhan yang mulia semestinya memberikan kesan yang mendalam pada penulis. Terdapat beberapa ziarah yang begitu emosional ketika berada di kota suci ini. Melawati tempat dan kesan sejarah Rasulullah memperjuangkan Islam berserta meninjau sendiri keadaan dan bentuk muka bumi serta berpengalaman dengan suhu cuaca di kota suci ini menjadikan penulis lebih kagum, kasih, sayang, takjub dengan kecekalan, kehebatan dan keagungan Rasulullah dan kebesaran Allah. Moga emosi ini akan dapat diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan ke arah perkara yang lebih baik demi menegakkan Islam melalui usaha dakwah, amal dan tarbiyah.


Merenung jauh dan bertanya, adakah akan diberi peluang lagi mengunjungi kota suci Mekah dan Madinah

Lebih kurang jam 9.20 malam 17 Ramadhan, penulis akan meninggalkan bumi Hijaz secara rasminya. Berakhirlah kembara spiritual Ramadhan penulis di tanah suci buat kali ini dan bermulalah episod baru kehidupan bagi penulis dengan semangat baru dan jiwa yang segar. Selamat tinggal Ya Rasululullah, selamat tinggal kota Madinah dan Mekah, selamat tinggal para sahabat Rasulullah, selamat tinggal bumi Hijaz, moga ketemu di lain hari di lain masa dengan izin dan perkenan Allah.

Penutup

Kembara spiritual penulis kali ini adalah lain dari yang lain dengan kembara ilmu sebelum ini. Perjalanan kali ini adalah kembara sendirian. Ini memberikan peluang dan masa yang amat berharga untuk penulis bermuhasabah dan beruzlah secara optimum di dua masjid suci. Setelah lama merenung dan bermuhasabah diri di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi, sememangnya diakui dari sudut amal ibadat, adalah amat kurang. Kegagalan untuk menunaikan setiap waktu solat dengan berjemaah, kadangkala kelalaian untuk menjaga waktu solat, kurangnya puasa sunat, tidak konsisten amalkan al Mathurat, kurang berzikir, kurang bertahajud dan kekurang-kekurangan yang lain. Walaupun telah melakukan semua ini tetapi amalan sunat yang dilakukan adalah tidak konsisten, kurang dan ini memerlukan transformasi diri secara segera.

Di akhir catatan ini, penulis hanya berharap kembara spiritual Ramadhan kali ini, akan membuatkan penulis menjadi hamba Allah yang lebih baik, lebih bersyukur, menjadi seorang anak soleh, menjadi seorang ayah yang lebih baik, menjadi seorang suami yang lebih baik, menjadi seorang pensyarah yang lebih baik, menjadi menantu yang lebih baik, menjadi pakcik kepada anak-anak buahku yang lebih baik, menjadi seorang pendakwah yang lebih baik, menjadi penyelidik yang lebih baik, menjadi rakan yang lebih baik, menjadi seorang warganegara yang lebih baik, menjadi seorang penasihat Shariah yang lebih baik, menjadi seorang Islam yang lebih baik dan menjadi seorang insan yang lebih baik. Moga-moga kembara ilmu di bumi Hijaz ini menjadi pencetus kepada episod baru yang lebih gemilang kepada penulis. Sesungguhnya kembara ilmu ini tidak akan berhenti di sini dan ianya akan diteruskan sehingga akhir hayat iaitu di waktu penulis menemui Penciptanya.

Kembara ilmu ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan daripada isteri tersayang. Terima kasih isteriku kerana memberikan sokongan tidak berbelah bahagi untuk penulis meneruskan kembara ilmu ini. Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, dengan kesibukan tugasmu, ditambah dengan agenda anak anak dan kerenah mereka, isteriku terus senyum dan sabar menjalankan tugasnya sebagai ibu dan ayah sepemergian penulis kali ini. Penulis merasa sungguh bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan isteri solehah dan anak-anak yang soleh. Syukur setinggi tinggi syukur ke hadrat Ilahi.

Catatan ini diakhiri tepat pada zuhur 17 Ramadhan di Masjidil Nabawi, Madinah al Munawwarah bersamaan dengan 5 ogos 2012.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support