GERAKAN ISLAM DAN KEGANASAN ISRAEL
Zulkifli Hasan
Pendahuluan
Di kala umat Islam seluruh dunia menyambut dan memperingati Maal Hijrah 1434, berita kekejaman Israel terus menghantui umat Islam di seluruh dunia. Pada malam 1 Muharam 1434H, Israel telah menyerang Gaza dan mengorbankan ramai nyawa termasuk pemimpin sayap ketenteraan Hamas, Ahmed al Jaabari. Walaupun kemenangan Obama sebagai Presiden Amerika buat penggal kedua disambut dengan positif berdasarkan kepada pendekatan Obama yang tidak mesra peperangan berbanding Republican yang begitu ‘obsess’ dengan keganasan. Namun, seperti sudah diduga, walau sesiapapun Presiden Amerika, dasar luar Negara Amerika tetap tidak akan berubah bahkan kepentingan Israel dianggap perkara yang perlu dipertahankan dalam apa cara sekalipun.
Ramai juga yang tidak sedar bahawa Israel beberapa minggu lalu baru sahaja menyerang dan mengebom kilang senjata di Khartoum, Sudan atas dasar mengatakan bahawa Sudan membekalkan senjata kepada Hamas di Palestin. Setakat ini, Israel dilihat begitu berkuasa kerana keganasan dan tindakannya yang melangkaui sempadan direstui oleh masyarakat antarabangsa terutamanya sekutu erat mereka Amerika. Bukan itu sahaja Israel kerap kali tidak menghormati undang-undang antarabangsa malahan melanggar ketetapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa serta mencabul Perjanjian Antarabangsa. Israel juga adalah satu-satunya Negara yang dapat menjustifikasikan apa sahaja tindakan dan keganasan yang dilakukan atas dasar keselamatan. Jika sesebuah Negara ingin membangunkan teknologi nuklear, agensi antarabangsa dan masyarakat dunia akan mengecam dan memberi tekanan dari pelbagai sudut sama ada ekonomi mahupun politik, sedangkan Israel hingga kini bebas untuk memiliki seberapa banyak senjara nuklear dan jelas merupakan antara kuasa nuklear dunia pada hari ini.
Hubungan Erat Amerika-Israel
Memahami hubungan erat Israel-Amerika bukanlah satu perkara yang sukar. Israel bukan sahaja boleh dianggap sebagai negeri ke-51 Amerika malahan Israel jugalah yang sangat mempengaruhi dan mendominasi dasar kerajaan Amerika. Elison Weir di dalam artikelnya ’the History of US-Israel Relationship’ mengatakan bahawa lobi Israellah yang sebenar menentukan sebahagian besar dasar Amerika. Fakta mengenai Israel yang menerima dana dan bantuan kewangan dan persenjataan daripada Amerika yang bernilai bilion ringgit setiap tahun bukanlah suatu perkara baru. Masyarakat antarabangsa sangat maklum dan mengetahui perkara ini. Penulis pernah mengetengahkan isu ini semasa menghadiri Bengkel Pengawalan Senjata anjuran Church of Sweden di Bangkok pada 2011. Di kala semua perwakilan sangat teruja dengan inisiatif pengawalan senjata demi keamanan dunia, tiada yang berminat untuk menyentuh isu Israel. Penulis cuba untuk menimbulkan isu Israel ini, namun ianya hanya disambut dengan dingin oleh semua perwakilan.
Merenung kepada situasi ini, mungkin menarik juga untuk membaca buku oleh Melvin Irving bertajuk ’We are One: American Jewry and Israel’. Buku ini secara jelas merekodkan sejarah keakraban Amerika dan Israel dan dianggap sebagai Satu Negara. Beberapa buku yang dianggap kontroversi dan berbentuk teori konspirasi seperti karya John Perkins iaitu ’the Secret of American History’ dan juga Eustace Mullin dengan bukunya ’the Secret of the Federal Reserve’ menerangkan secara terperinci perkara ini. Walaupun ada yang menganggap buku ini sebagai teori konspirasi, namun mesej yang ingin disampaikan dalam buku ini sangat bertepatan dengan apa yang berlaku pada hari ini. Penulis masih ingat ketika menghadiri dan sengaja menimbulkan teori konspirasi mengenai Israel dan Amerika di konferens ’the World Bank and the Modern Law Review’ di Newcastle, UK pada 2011 dianjurkan oleh Bank Dunia. Hampir kesemua peserta hanya tersenyum, ada yang tertawa dan panelis terus melabelkan teori ini sebagai datang dari individu yang kurang waras dan jahil.
Penulis tidak mahu mendedahkan lebih banyak fakta dan bukti mengenai keakraban Amerika-Israel kerana percaya bahawa ia telah diketahui oleh masyarakat antarabangsa secara meluas dan tidak perlu diselindung lagi. Apa yang menjadi isu utama ialah apakah tindakan dan reaksi umat Islam terhadap serangan dan keganasan yang dilakukan oleh Israel? Hingga kini, Israel terus tanpa segan silu malahan bongkak dan sombong terus menerus melakukan keganasan bukan sahaja terhadap Palestin tetapi juga kepada sebarang pihak yang cuba membela nasib Palestin. Serangan berdarah ke atas kapal Mavi Marmara milik sebuah badan kebajikan Turki tidak mendapat pembelaan malahan tiada kenyataan maaf datang dari Israel. Pengorbanan seorang gadis bernama Rachel Corrie yang mati dibunuh oleh Israel kerana menentang kekejaman Israel juga tidak terbela oleh masyarakat antarabangsa.
Dunia Islam dan Israel
Sebelum membicarakan apakah reaksi sewajarnya dilakukan terhadap serangan Israel ini, umat Islam terlebih dahulu mesti mengingati kembali sejarah penubuhan OIC Pertubuhan Negara-negara Islam yang kini dianggotai oleh 57 buah negara. Penubuhan OIC pada 1969 adalah berkait rapat dengan Masjid al Aqsa berikutan keganasan dan kekejaman Israel yang menggugat kestabilan. Hingga kini, OIC dilihat tidak berfungsi sebagaimana yang aspirasikan semasa penubuhannya. Bahkan, sering kali OIC dilihat lembap dan tidak efisyen bagi membela nasib umat Islam.
Kemenangan Dr. Mohamed Mursi sebagai Presiden Mesir disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam secara umumnya. Sebagai seorang aktivis gerakan Islam yang paling berpengaruh di dunia, Ikhwanul Muslimin, harapan yang begitu tinggi diletakkan di atas bahu beliau. Namun, pendekatan beliau yang dilihat sebagai terbuka yang mengiktiraf negara Israel bahkan menghantar duta Mesir ke Israel begitu mengejutkan. Bukan itu sahaja, beliau juga telah mendapatkan bantuan IMF bagi membantu membangunkan Mesir. Walaupun beliau telah memanggil pulang Duta Mesir di Israel sebagai tanda bantahan kepada tindakan serangan Israel, Mesir masih mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Perkara ini sebenarnya adalah amat difahami memandangkan Mesir masih terikat dengan Perjanjian Camp David yang ditandatangani oleh Anwar Sadat dan Israel pada 1978 dan kini Dr. Mohamed Mursi telah memulakan usaha untuk menyemak semula kandungan Perjanjian tersebut.
Di antara pemimpin Islam yang lantang mempersoalkan kezaliman dan kekejaman Israel ialah Perdana Menteri Turki Recep Tayib Erdogan. Semasa di World Economic Forum di Davos, di kala semua hadirin bertepuk tangan mendengar kekejaman Israel oleh Simon Peres pada 2009, Erdogan bangun menyuarakan ketegasan dan bertindak meninggalkan majlis sebagai tanda bantahan dan protes. Selepas peristiwa tersebut berserta dengan beberapa tindakan Erdogan yang lain membuatkan beliau dihormati dan dianggap sebagai hero umat Islam. Namun, sekiranya dilihat kepada polisi dasar luar negara Turki-Israel ianya tetap sama dan tidak berubah. Turki masih mempunyai hubungan yang rapat dengan Israel. Mungkin juga ramai yang tidak tahu bahawa Turki adalah negara Islam yang pertama mempunyai hubungan diplomasi dengan Israel seawal 1949. Sedikit harapan yang dapat dilihat pada Turki ketika ini ialah kekuatan ekonomi dan kestabilan politiknya telah meletakkan Turki sebagai sebuah negara yang signifikan di peringkat antarabangsa. Penganalisis Politik Antarabangsa, Michael Koplow misalnya menjangkakan akan terdapat perubahan pada hubungan Turki-Israel dengan berlakunya serangan keganasan Israel baru-baru ini.
Satu ketika dulu, Iran dilihat sebagai sebuah negara yang menjadi ancaman kepada Israel. Presiden Mahmoud Ahmadinejad sering kali menimbulkan polemik dan mengutuk keganasan serta kekejaman Israel. Bahkan, beliau digelar dengan pelbagai gelaran yang negatif akibat daripada kenyataan keras terhadap Israel khususnya semasa Perhimpunan Agung PBB pada september 2012 yang menyatakan bahawa Israel akan dipadamkan pada peta antarabangsa. Kenyataan keras beliau ini dikecam oleh ramai perwakilan antarabangsa dan mendapat reaksi hebat oleh sekutu Israel.
Walaupun Iran dilihat sebagai negara yang anti-Israel tetapi hakikatnya sekira ditinjau tindakan, dasar dan realiti, Iran bukanlah negara yang benar-benar anti-Israel. Penulis merasa ragu dengan fungsi Iran sebagai ’anasir jahat’ di peringkat antarabangsa yang mengancam keselamatan Timur Tengah dan Israel. Peranan Iran di Timur Tengah hanya dilihat sebagai faktor utama membuka peluang kepada Israel untuk meningkatkan hegemoninya di dunia. Tanpa ancaman Iran, Israel mungkin tidak sebebas hari ini meningkatkan bala ketenteraanya, meneruskan keganasan dan kekejaman. Tanpa ancaman Iran, Amerika tidak akan dapat membekalkan senjata kepada negara-negara Teluk yang kaya raya itu. Direkodkan bahawa sebahagian besar perbelanjaan negara-negara Teluk ini diperuntukkan untuk pembelian senjata daripada Amerika. Bayangkan sekiranya tiadanya ancaman Iran di Timur Tengah, sudah pasti Israel tidak akan sewenang-wenangnya bermaharajalela memandangkan negara-negara arab akan menumpukan perhatian kepada isu yang berlaku di Palestin dan Amerika tidak lagi mempunyai pelanggan tetap senjatanya. Keadaan ekonomi yang semakin goyah dengan hutang negara yang sudah mencecah USD16 trilion membuatkan Amerika semakin terdesak mencari rakan dagang setia dan pelanggan tetap senjatanya. Faktor ini serba sedikit membuktikan Iran bukanlah negara yang boleh diharapkan dalam membela nasib umat Islam mahupun mengetuai negara Islam menentang Israel. Lebih-lebih lagi dengan tindakan Iran yang menyokong rejim al Assad di Syria untuk terus menzalimi dan membunuh rakyat yang memperjuangkan kebebasan.
Semasa era pimpinan Tun Dr. Mahathir, beliau dilihat begitu tegas dengan isu kezaliman Israel dan dianggap mewakili suara negara dunia ketiga dan negara Islam. Kelantangan suara Tun Dr. Mahathir ini tidak disenangi oleh beberapa pihak termasuk Israel. Hingga kini, Tun Dr. Mahathir masih konsisten dengan pandangan terhadap Israel dan terus bergiat aktif dalam memperjuangkan isu keamanan. Kenyataan beliau yang menyentuh isu Israel memerintah dunia melalui proksi dan melabelkan Israel sebagai Negara Pengganas mendapat reaksi keras daripada pelbagai pihak di peringkat antarabangsa terutamanya yang pro-Israel. Walaupun mengakui sumbangan Tun Dr. Mahathir dalam aspek ini, namun ianya tidak signifikan kepada sebarang usaha untuk menghentikan keganasan Israel. Dengan kedudukan yang kini tidak memegang apa-apa jawatan yang strategik, suara Tun Dr. Mahathir kini tidak lagi sekuat dan selantang dulu.
Gerakan Islam Ancaman Sebenar Israel
Setelah menelusuri peranan beberapa negara dan pimpinan dunia Islam dalam memperjuangkan isu keganasan Israel dan membela nasib umat Islam khususnya di Palestin, boleh dibuat kesimpulan bahawa sehingga kini tiadanya kerjasama bersepadu negara Islam. Kebanyakan inisiatif dan tindakan yang dilakukan adalah bersifat individu, tidak kolektif dan bermusim. Ini bermakna sebarang usaha untuk membantu perjuangan umat Palestin selama ini adalah kurang berkesan. Oleh itu seharusnya dikaji bentuk perjuangan yang bagaimana seharusnya dilakukan pada waktu ini untuk meneruskan perjuangan ini. Dalam aspek ini, penulis ingin merujuk kepada Laporan yang dibuat oleh ’Think-thank Israel’ Jerusalem Cente for Public Affairs 2011. Laporan yang penting ini menyimpulkan bahawa ancaman sebenar Israel bukanlah mana-mana negara Islam mahupun pimpinan dunia Islam tetapi ancaman yang benar-benar mampu menggugat Israel ialah gerakan Islam. Gerakan seumpama Ikhwanul Muslimin dan jaringannya merupakan ancaman terbesar Israel.
Kesimpulan yang dibuat oleh Laporan oleh Jerusalem Center for Public Affairs ini secara jelas menunjukkan bahawa Gerakan Islam yang bersepadu mengakar dan membumi diangkat oleh umat Islam secara kolektif adalah ancaman sebenar Israel. Gerakan Ikhwanul Muslimin dan jaringannya di seluruh dunia begitu merisaukan Israel kerana kekuatan gerakan ini bukan sahaja bersandarkan kepada kesatuan tetapi keimanan, keikhlasan serta kekuatan rohaninya. Yusuf al Qaradhawi ada menyebutkan hal ini di dalam bukunya ’Aku dan al Ikhwan al Muslimun’ di mana tentera Israel semasa peperangan Mesir-Israel ada menyatakan bahawa mereka langsung tidak takut dengan tentera Mesir tetapi sangat gentar dengan sukarelawan ikhwanul muslimin. Israel juga sangat gusar dan gentar dengan pejuang gerakan Islam seperti Hamas. Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh dengan penuh keberanian menyatakan bahawa beliau sangat mengimpikan syahid dan sentiasa bersedia untuk berjuang menentang kezaliman Israel. Antara faktor inilah, Gerakan Islam begitu digeruni oleh Israel berbanding dengan ancaman-ancaman yang lain.
Penutup
Berdasarkan kepada perbincangan ringkas di atas, perjuangan membebaskan Palestin dan membela nasib umat Islam serta menghentikan keganasan Israel adalah suatu jihad yang menjadi tuntutan aqidah. Umat Islam tidak boleh mengharapkan pemimpin barat mahupun pimpinan dunia Islam untuk mengetuai perjuangan ini. Ia seharusnya dimulakan dan dipelopori oleh gerakan Islam. Gerakan Islam seumpama ikhwanul muslimin dan gerakan Islam yang lain kini perlu bersatu teguh dan bekerjasama secara kolektif untuk bersama-sama meneruskan misi ini. Hanya dengan kesatuan ummah melalui paradigma Tauhid, perjuangan membebaskan bumi Palestin akan tercapai dan kekejaman Israel dapat dihentikan. Kesatuan ummah di atas paradigma Tauhid yang dipimpin oleh Gerakan Islam inilah yang akan menjadi penentu kepada kebangkitan dan kegemilangan umat Islam.
Regards
Zulkifli Hasan
Demonstration Against Israel, Trafalgar Square, London