Can Muslim Societies Unite for Palestine?

PERPADUAN UMAT ISLAM PENENTU MASA DEPAN PALESTIN

Keganasan dan kezaliman Zionis Israel adalah konsisten sejak ia ditubuhkan pada 1948. Setiap tahun dan kerap kali berlaku dalam bulan Ramadhan Israel berterusan membunuh, menindas, dan menzalimi rakyat Palestin. Israel secara konsisten dengan bongkak melanggar hak asasi manusia, tidak menghormati undang-undang antarabangsa apatah lagi mematuhi ketetapan Mahkamah Antarabangsa. Lebih malang lagi, kezaliman dan kesamsengan Israel ini dipandang sepi organisasi antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Di kala Israel dan sekutunya bersatu tenaga berganding bahu menindas penduduk Palestin, negara-negara Islam terus berpecah belah bergerak secara berasingan tanpa hala tuju. Pertubuhan OIC terus lena dan lesu. Lebih menyedihkan ada negara-negara yang sanggup menormalisasi hubungan dengan Israel bahkan ada yang sanggup menjustifikasikan kezaliman dengan pelbagai dalil dan hujah. Bukan itu sahaja, ada juga yang enggan menuding jari kepada Israel tetapi menyalahkan pula penduduk Palestin yang ditindas sekian lama. Keadaan ini pastinya menambah kesulitan, keparahan dan menyakitkan bukan sahaja dari aspek fizikal tetapi emosi saudara kita di Palestin yang bersendirian menghadapi kerakusan zionis Israel.

Pengalaman penulis ke Gaza pada 2014 meninggalkan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Perjalanan penuh debaran dan cabaran getir yang menguji keimanan dan keberanian pastinya memberikan perspektif mendalam terhadap apa yang dirasai dan ditempuhi penduduk Palestin. Dalam keadaan sebegitu susah dan sukar, saudara kita di Palestin masih positif dan begitu yakin dengan perjuangan. Penulis masih ingat pesanan Dr Rafat, sahabat kami yang merupakan pakar perubatan sebelum kami meninggalkan bumi Gaza. Beliau berkata “We are here for you”. Dengan penuh yakin, beliau menyatakan bahawa insyaAllah kita akan dapat bersama-sama menunaikan solat di Masjidil Aqsa di bumi Palestin yang bakal dibebaskan daripada penjajahan Israel. Mereka masih kekal di bumi Palestin mempertaruhkan nyawa dan harta benda untuk mempertahankan Masjidil Aqsa. Sudah pasti kata-kata ini ini begitu menusuk kalbu, menyentuh jiwa dan menginsafkan.

Isu Palestin adalah mudah difahami kerana ia bersifat universal dan sejagat. Ia bukan sahaja merangkumi aspek tuntutan akidah saudara seagama tetapi menyentuh perihal kemanusiaan. Sesungguhnya Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam boleh menjadi motivasi atau pencetus kepada kesatuan umat Islam.  Atas nama akidah persaudaraan dan ukhuwah seagama, Palestin sepatutnya mampu menyatukan kita semua. Palestin juga membawa mesej kemanusiaan merentasi sempadan, agama, budaya, ideologi dan pemikiran. Ini dinukilkan sendiri oleh Nelson Mandela dengan berkata “But we know too well that our freedom is incomplete without the freedom of the Palestinians“. Bukan sahaja penduduk beragama Islam yang ditindas dan dizalimi tetapi golongan Kristian termasuk kanak-kanak, orang tua dan wanita dibunuh dan diperlakukan lebih hina daripada binatang di Palestin. Tiada apa yang boleh menjustifikasikan pembunuhan kanak-kanak, orang tua dan wanita sepertimana yang dilakukan Israel. Dari kacamata kemanusiaan, semua kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan Israel adalah luar batasan kemanusiaan.

Liputan keganasan Israel kali ini adalah sedikit berbeza menampakkan kelainan berbanding sebelumnya. Komuniti antarabangsa termasuk selebriti dan tokoh-tokoh terkenal dunia kini bersama-sama menyuarakan keprihatinan mereka terhadap Palestin. Pemain bolasepak terkenal seperti Paul Pogba, Muhammad Salah dan Eric Cantona termasuk selebriti Bella Hadid, Mark Ruffalo, Zayn Malik, Dualipa, Trevor Noah dan ramai lagi menyatakan solidariti bersama penduduk Palestin. Terdapat banyak negara-negara yang sudah mula menyedari jenayah kemanusiaan dilakukan Israel dan menyuarakan bantahan ke atas Israel serta menyatakan sokongan kepada Palestin. Perkembangan ini sedikit sebanyak memberikan harapan kepada perjuangan Palestin yang selama ini tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Sudah sampai masanya kita melakukan sesuatu dengan pendekatan baharu yang lebih berimpak dan signifikan. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing sedayanya. Ia perlu dilaksanakan secara istiqamah, strategik dan luar daripada kebiasaan. Kita sendiri maklum, bahawa setiap perancangan zionis Israel penuh berstrategi dengan pelbagai tipu helah. Maka, perancangan kita perlu lebih strategik, terkehadapan dan lestari. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyampaikan maklumat dan memberi kesedaran mengenai isu Palestin kepada masyarakat tempatan dan komuniti antarabangsa. Inilah antara yang paling ditakuti zionis Israel sekiranya seluruh dunia menyedari hakikat keganasan dan ketidakadilan yang dilakukan sejak 1948. Sebagai bukti, untuk menutup dan mengurangkan liputan jenayah dilakukan, Israel telah membedil Menara Komunikasi Associated Press di Gaza. Sebelum ini juga Israel telah membunuh begitu ramai wartawan dan jurnalis yang melaporkan jenayah kemanusiaan mereka lakukan.

Kita juga perlu meneruskan usaha-usaha memberikan sumbangan kewangan, kemahiran, kepakaran dan sebagainya. Sumbangan jangka masa panjang yang lestari perlu diperbanyakkan bagi membantu membina kembali Palestin khususnya dari aspek pembangunan pendidikan, sains dan teknologi, kesihatan termasuk ekonomi. Dalam masa yang sama, kita perlu juga menukar pendekatan bertahan dengan melakukan serangan ke atas Israel menerusi BDS termasuk membongkarkan kekejaman dan jenayah kemanusiaan menerusi liputan, dokumentari, laporan dan sebagainya kepada seluruh umat manusia dan komuniti antarabangsa. Jika kesemua di atas tidak dapat dilakukan, sekurang-kurangnya teruskanlah berdoa tanpa putus kepada Allah swt agar melindungi dan memelihara penduduk Palestin serta menghancurkan zionis Israel dan sekutunya. Semoga dengan usaha yang kita lakukan ini akan dikira oleh Allah sebagai amal soleh dan bukti persaudaraan dengan saudara kita di Palestin.  

Sesungguhnya kita mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk meneruskan usaha-usaha memperjuangkan isu Palestin ini secara strategik dan berhikmah tanpa mengenal erti penat, lelah dan putus asa. Kekuatan dan ketabahan penduduk Palestin selama puluhan tahun berhadapan dengan kekejaman Israel sepatutnya memberikan motivasi kepada kita untuk turut sama dalam perjuangan. Hanya kesatuan dan perpaduan umat Islam memperjuangkan keadilan menjadi penentu masa depan Palestin. Sesuatu yang perlu kita akui ialah kezaliman, ketidakadilan dan kekejaman akan terus bermaharajalela, bukan kerana ramainya orang-orang jahat dan zalim di muka bumi ini, tetapi kerana ramainya orang baik-baik yang hanya berdiam diri berpeluk tubuh tidak melakukan apa yang perlu dilakukan.

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support