Solidariti Keamanan Sejagat

Solidariti Keamanan Sejagat

Abad ke-20 menyaksikan jutaan manusia terkorban akibat peperangan atas dasar sifat manusia yang tamak dan gila kekuasaan.
Sesungguhnya kita masih berada di awal Abad ke-21 tetapi dunia sudah menyaksikan bibit-bibit awal peperangan, keganasan dan jenayah kemanusiaan. Umat manusia seluruhnya perlu sehati sejiwa atas dasar dan nilai manusiawi sejagat memastikan bersolidariti secara kolektif agar dunia lebih aman dan makmur.

Isu Keamanan Sejagat bukanlah sukar untuk difahami kerana ia bersifat universal dan sejagat. Namun, ia memang sukar untuk dilaksanakan. Meneliti realiti dunia hari ini dengan dinamika kemajmukan dan kepelbagaian, ia menuntut kepada keberanian zaman menerusi pendekatan berhikmah dan kekuatan ilmu untuk mencetuskan pemikiran baharu yang sentiasa cenderung kepada keamanan sejagat. Dalam konteks ini konsep-konsep universal seperti al-taayush kesefahaman dalam kewujudan bersama (al wujud al-mutazamin), peaceful coexistence atau universal peace bukan sahaja perlu difahami secara kontekstual tetapi lebih utama perlu dihayati dan dilaksanakan agar ia mendominasi pemikiran umat manusia. 

Bagi maksud ini, sudah sampai masanya kita melakukan sesuatu dengan pendekatan baharu yang lebih berimpak dan signifikan. Kita tidak boleh lagi menuding jari dan menghabiskan masa bertelingkah tetapi semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing sedayanya. Ia perlu dilaksanakan secara istiqamah, strategik, kolektif, dan luar daripada kebiasaan. Kita sendiri maklum, bahawa setiap perancangan pengganas dan pelaku jenayah kemanusiaan penuh berstrategi dengan pelbagai tipu helah. Maka, perancangan kita perlu lebih strategik, terkehadapan dan lestari. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua merentasi sempadan, melangkaui agama, latarbelakang, ideologi, pemikiran, untuk menyampaikan maklumat dan memberi kesedaran mengenai peri penting keamanan dan menggerakkan gelombang anti segala bentuk peperangan di dunia. Sudah sampai masanya juga kita memberi fokus kepada aspek pembangunan mampan dan holistik di negara-negara bergolak dan mempersiapkan generasi baharu mereka dengan kekuatan ilmu agar dapat kembali membina negara masing-masing. 

Sesungguhnya kita mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk meneruskan usaha-usaha memperjuangkan isu keamanan ini secara strategik dan berhikmah tanpa mengenal erti penat, lelah dan putus asa. Kekuatan dan ketabahan penduduk Palestin selama puluhan tahun berhadapan dengan kekejaman Israel sepatutnya memberikan motivasi kepada kita untuk turut sama dalam perjuangan. Hanya kesatuan dan perpaduan umat Islam dan solidariti umat manusia memperjuangkan keadilan menjadi penentu masa depan.

Sesuatu yang perlu kita akui ialah kezaliman, ketidakadilan dan kekejaman akan terus bermaharajalela, bukan kerana ramainya orang-orang jahat dan zalim di muka bumi ini, tetapi kerana ramainya orang baik-baik yang hanya berdiam diri berpeluk tubuh tidak melakukan apa yang perlu dilakukan.

Salam Keamanan Sejagat. 
 

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support