YB TMA Sertai Lawatan Bersejarah PMX ke Bahrain, Buka Laluan Lebih Erat

Alhamdulillah, saya diberikan penghormatan untuk mengiringi YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam Lawatan Kerja Rasmi ke Bahrain, atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Yang Amat Mulia Putera Mahkota Salman bin Hamad Al Khalifa. Lawatan Rasmi ini bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara, insya-Allah.

Sebelum ini, saya sudah pernah sampai ke Bahrain menghadiri Persidangan Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI). Sampai sahaja ke negara tersebut, saya ambil ruang untuk larian santai selepas Subuh, sebelum memulakan tugasan rasmi. Alhamdulillah, cuaca dingin dan penuh ketenangan.

PMX menyertai Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) dan menyampaikan ucapan pada sesi utama persidangan berkenaan. IIDC adalah persidangan anjuran Al-Azhar Al-Sharif, Supreme Council Islamic Affairs (Bahrain) dan Muslim Council of Elders yang akan dihadiri lebih 298 agamawan dari 75 negara. Jadual sememangnya padat dengan pelbagai mesyuarat dan pertemuan strategik.

PMX menyampaikan Ucaptama dalam Persidangan IIDC di hadapan ratusan ulama dari seluruh dunia. Sebelum itu, Al-Imam Al-Akbar Syeikhul Azhar, Dr. Ahmed Al Tayeb menyampaikan Ucapan selaku Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin. PMX berbicara mengenai masa depan ummah, keperluan menghentikan isu perbezaan aliran dan manhaj termasuk peri pentingnya untuk fokus kepada perkara yang lebih penting dan mendesak seperti perkembangan dunia teknologi, Kecerdasan Buatan (AI) dan Peralihan Tenaga (Energy Transition).

PMX juga tidak pernah lupa untuk membangkitkan isu kemanusiaan dan ummah, khususnya berkenaan Palestin. PMX diberi penghormatan sebagai satu-satunya pemimpin utama negara yang dijemput berucap dalam persidangan ini, di hadapan ratusan alim ulama dunia yang berhimpun di Bahrain.

Walaupun PMX bukan seorang yang bergelar ulama, namun para ulama bertaraf dunia memberikan penghormatan yang tinggi kepada beliau, alhamdulillah. Inilah kelebihan yang beliau miliki – kesediaan menimba ilmu dan berkongsi ilmu sebanyak mungkin; demi kemaslahatan bersama. Mesej yang disampaikan sangat signifikan menyentuh hal ehwal dan masa depan ummah.

Saya kemudiannya mengiringi PMX dan delegasi Malaysia menghadap Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Bin Hamad Al Khalifa di Istana Gudaibiya, Manama. Pelbagai perkara yang diperbincangkan untuk manfaat kedua-dua negara. Secara peribadi, pengalaman penuh bermakna melalui sendiri sesi perbincangan dua hala aras tinggi – melibatkan pimpinan tertinggi dua negara. Semuanya memerlukan ketajaman dan keluasan pemikiran serta pengalaman dan hikmah.

Selepas itu, mengiringi PMX ke Majlis Ramah Mesra bersama diaspora Malaysia di Bahrain. Ramai juga rakyat Malaysia yang berkhidmat dan merantau ke Bahrain. Mendapat penghormatan oleh PMX untuk saya menyampaikan ucapan pemula di hadapan hadirin. Saya zahirkan penghargaan di atas kehadiran dan sumbangan mereka. Meskipun selesa dengan keindahan Bahrain, saya percaya jauh di sudut hati, pastinya mereka merindukan tanah air tercinta kita semua – Malaysia.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Ucapan PMX dan sesi dialog. Pelbagai soalan dan pandangan dilontarkan. Sesi dialog secara terbuka yang sangat interaktif. Merasa bangga dengan kejayaan rakyat Malaysia yang berkhidmat, berniaga dan bekerja di luar negara.

Nama Malaysia sememangnya harum pada mata dunia dan rakyat Malaysia juga sentiasa disenangi komuniti luar negara kerana punya disiplin, kemahiran dan kehalusan pekerti. Saya pernah berkhidmat di Dubai dan punya sedikit pengalaman mengenali budaya dan gaya hidup komuniti di negara teluk yang unik.

Selanjutnya, saya hadir sama dalam pertemuan dan perbincangan khas PMX bersama Imam Akbar Syeikhul Azhar al-Sharif, Profesor Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayyib. Saya menyambut baik pengumuman PMX mengenai pelantikan Ustaz Datuk Nakhaie Ahmad sebagai wakil rasmi Malaysia ke Majlis Hukama’ Muslimin. Pengalaman puluhan tahun beliau dalam dunia dakwah diyakini dapat menggerakkan Majlis Hukama’ Muslimin di Malaysia.

Alhamdulillah, Syeikhul Azhar memuji dan menyokong penuh mesej yang disampaikan PMX semasa Ucaptama dalam Persidangan IIDC. Perbincangan yang produktif dengan beberapa keputusan dan memerlukan gerak kerja lanjut untuk perlaksanaan seterusnya. Insya-Allah, akan dilaksanakan dan diumumkan dalam masa terdekat.

Saya turut menyertai delegasi PMX menghadap Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa di Istana Sakhir. Menyaksikan sendiri keakraban PMX dan Raja Bahrain, di mana perbincangan jelas nampak sangat mesra dan ceria. Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala memberkati segala usaha dan bakti dan mudah-mudahan hubungan kedua-dua negara akan terus kukuh, insya-Allah.

Sesi perbincangan PMX bersama-sama Menteri Kewangan dan Ekonomi Bahrain, Shaikh Salman Bin Khalifa Al Khalifa turut dijalankan. Alhamdulillah, Bahrain menyatakan komitmen untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN+GCC+China. Inisiatif ini adalah sangat strategik. Moga kerjasama antara Malaysia dan Bahrain serta inisiatif ASEAN+GCC+China ini akan memberi manfaat besar kepada semua negara yang terlibat, insya-Allah.

Kami turut melawat Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain (Bahrain EDB). Menteri Pembangunan Lestari dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahrain EDB, Puan Noor Binti Ali AlKhulaif memberikan penerangan terperinci mengenai ekonomi Bahrain dan meneroka peluang kerjasama. Semoga hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi Malaysia-Bahrain dapat terus diperkukuh, insya-Allah.

Berkebetulan PMX ada perbincangan tertutup tidak melibatkan delegasi lain semasa lawatan rasmi tempohari, maka saya ambil masa sebentar lebih kurang sejam untuk melawat Kubu Bahrain al Qal’at al-Bahrain. Kubu Bahrain ini dikatakan sudah berumur lebih 3,000 tahun melalui pelbagai zaman sehingga hari ini.

Bahrain adalah negara pertama menjumpai minyak di negara Teluk iaitu pada 1932. Lebih menarik mengenai Bahrain ialah keunikan mukabuminya. Bahrain bermakna ‘dua laut’. Antara keunikannya ialah terdapat telaga atau mata air dalam laut yang rasanya tawar dan sedikit manis. Saya sempat merasa sendiri mata air ini semasa air laut surut, dan memang rasanya tawar dan manis-manis sedikit bukan masin.

Kami dimaklumkan bahawa penyelam-penyelam mutiara satu waktu dulu akan ambil air dari mata air semula jadi ini di dalam laut sewaktu menyelam. Subhanallah! Banyak yang boleh kita pelajari daripada permusafiran dan peluang untuk tadabbur dan meneliti ciptaan Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Selesai urusan kerja di Bahrain, kami siap berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Mendapat beberapa tugasan baharu yang perlu dilaksanakan sebaiknya. Setinggi penghargaan dan terima kasih buat pasukan kementerian, pihak kedutaan, petugas keselamatan dan semua pegawai yang bertugas serta rakan media yang membantu dan mempermudahkan segala urusan kami sepanjang berada di Bahrain.

Sampai saja di Kuala Lumpur, terus jalankan kerja. Ada beberapa tugasan dan program rasmi yang saya hadiri sebaik tiba dari Bahrain, antaranya Sesi Usrah Madani Khas bersama sahabat baik saya, Profesor Dr. Syed Muhammad Khairuddin al-Juneid.

Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! 💪

Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.

🤲🇲🇾🇧🇭

#MadaniBekerja
#MadaniMembantu
#SebarkanSalam#KitaKawan

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support