








Selepas mengharungi jadual padat sewaktu Lawatan Kerja Rasmi selama 3 hari di Sandakan, Sabah, saya meneruskan tugasan di Miri, Sarawak. Sampai sahaja di Miri, bergegas terus ke Masjid al-Naim, Lutong, Miri untuk Majlis Musa’adah Asnaf dan Ihya Ramadan anjuran YADIM, JAKIM Sarawak dan Masjid al-Naim.
Dengan semangat #MadaniMembantu, turut sampaikan bantuan buat yang memerlukan. Masjid al-Naim adalah masjid yang pernah menjadi tular. Ia terletak betul-betul berhadapan gereja.
Hubungan antara warga Masjid al-Naim dan gereja adalah harmoni dan damai. Jemaah di sini juga tiada isu apabila perayaan seperti Aidilfitri mahupun Krismas; kerana masing-masing menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Malahan mereka selalu berkongsi tempat letak kereta dan bantu membantu. Inilah contoh al-Taayush hidup bersama dalam kedamaian yang diajar oleh Islam, bukan provokasi agama tanpa etika yang kerap dimainkan sesetengah pihak. Kami menyerahkan sumbangan kepada asnaf dan solat Isyak, Maghrib, solat Tarawih, iftar dan moreh di Masjid al-Naim. Alhamdulillah, suasana indah dan damai.













Saya tampil dalam Wacana dan Dialog Malaysia Madani di IPG Kampus Sarawak. Alhamdulillah, ramai sungguh yang hadir terdiri daripada bakal guru (pelajar IPG), pensyarah dan lain-lain.
Ramai juga pensyarah dan pelajar bukan Muslim yang turut serta wacana dan dialog kali ini. Dialog adalah sangat interaktif – dengan pelbagai persoalan dilontarkan pelajar-pelajar. Saya mengakui bahawa pengurusan program di IPG-IPG mempunyai standard atau piawaian yang sangat tinggi.
Semuanya disusun atur dengan teliti dan terperinci. Program berjalan dengan teratur dan profesional.









Alhamdulillah, Solat Subuh di Masjid Darul Ehsan, Piasau Jaya. Dapat bertemu alumni UIAM yang juga Pengerusi Masjid ini. Ramai juga yang hadir Subuh berjemaah di sini. Antara kelebihan Masjid ini ialah kelengkapan Bilik Pengurusan Jenazah yang terkini.
Semua kemudahan dan peralatan adalah yang terkini termasuk rekabentuk dan ini memudahkan pengurusan jenazah, insya-Allah.














Meneruskan program di Miri, Sarawak dengan Program Musa’adah Asnaf dan Ihya Ramadhan di Masjid al-Muttaqin, Bekenu anjuran JAKIM dan YADIM Sarawak. Sempat bertemu dengan YB Dato’ Lukanisman Awang Sauni, Ahli Parlimen Bekenu yang juga Timbalan Menteri Kesihatan.
Alhamdulillah, dengan semangat #MadaniMembantu, dapat menyerahkan sumbangan daripada Tabung Musa’adah JAKIM kepada 24 buah masjid dan surau di kawasan Miri dan Bintulu yang terkesan banjir. Moga dapat membantu serba sedikit semua masjid dan surau terlibat, insya-Allah.













Alhamdulillah, dapat bersahur dan Solat Subuh berjemaah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri, Sarawak. Antara menarik sekolah cemerlang ini ialah tandasnya memang terbaik. Mereka telah memenangi Anugerah Tandas Terbaik 2024 peringkat kebangsaan.
Bukan itu sahaja, guru bukan Muslim juga ada mengajar di sini dan berkhidmat sebaiknya dengan penuh harmoni. Selepas Tarawih, pasukan YADIM Sarawak sibuk menyediakan bubur lambuk dan kemudiannya diagihkan kepada anak-anak semasa sahur.
Bahagia rasanya melihat wajah-wajah anak-anak yang memenuhi ruang surau. Mereka membaca al-Quran dan solat sunat sementara menunggu masuk waktu. Terima kasih kepada semua guru yang mendidik anak-anak dengan begitu baik.
Mendoakan semuanya cemerlang dunia akhirat. Terima kasih dan penghargaan setulusnya kepada YADIM Sarawak, JAKIM Sarawak, Pengetua, Pengurusan dan semua warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri yang sangat cemerlang.






Dalam perjalanan ke lapangan terbang, kami singgah sebentar menziarahi Adik Nur Irsalina Syairah dan datuknya, Encik Arabi Samsudin. Mereka adalah ahli keluarga yang terselamat semasa tragedi tanah runtuh yang menimbus dua rumah di Kampung Lereng Bukit, Miri. Mereka kehilangan lima ahli keluarga dalam tragedi ini.
Saya berbual dan bertanya khabar dengan Adik Nur Irsalina dan Encik Arabi. Adik Nur akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Jelas nampak kecekalan dan ketabahan beliau menghadapi ujian yang hebat ini. Begitu juga dengan Encik Arabi.
Keduanya masih tersenyum dan positif bahkan Adik Nur sudah mula fokus kembali dengan pelajaran untuk persediaan SPM. Saya serahkan sedikit sumbangan buat Adik Nur dan keluarga.
Mendoakan semoga cemerlang SPM nanti dan semuanya dilindungi dan dirahmati Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Diiringi doa setulusnya.
Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! 💪
Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.
🤲🇲🇾