







Sesi Temubual di BERNAMA Radio. Sudah beberapa kali ke udara di BERNAMA Radio – namun ini yang pertama kali masuk ke gelanggang Podcast di Wisma Bernama. Kali ini membincangkan tajuk “Persiapan Menjadi Duyyufurahman”.
Saya tekankan supaya para jemaah bersedia dalam semua aspek – terutamanya kesihatan mental, fizikal serta kerohanian sepanjang mengerjakan ibadah Haji. Penjagaan kesihatan dan kecergasan boleh dimulakan sedari hari ini – tanpa mengira panggilan untuk giliran Haji kita sudah hampir mahupun sebaliknya.
Persediaan sangat penting untuk kesejahteraan bersama. Keadaan di Tanah Suci pastinya akan sesak dan mencabar, justeru setiap jemaah diharap dapat bersabar dan berkasih-sayang sesama saudara Islam tanpa mengira latar belakang.
Saya juga menyeru kepada bakal jemaah haji musim 1446H/2025M supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah haji serta menjaga adab dan disiplin sepanjang berada di Tanah Suci.
Panggilan haji merupakan jemputan istimewa daripada Allah Subhanahu wa-Ta’ala kepada hamba-Nya yang terpilih, justeru perlu disambut dengan penuh keikhlasan dan penghayatan.



Atas izin Allah Subhanahu wa-Ta’ala, saya sudah beberapa kali menunaikan Umrah, dan sekali menunaikan Haji, iaitu pada Jun 2022. Mengerjakan ibadah Haji ketika musim pandemik Covid 19, penuh dengan cabaran tersendiri, namun hikmahnya cukup tinggi.
Rakan-rakan sebilik saya ketika menunaikan Haji, masih kekal akrab seperti keluarga, hingga ke hari ini. Terima kasih Radio BERNAMA, moga ada manfaatnya.
















Menghadiri Majlis Hari Raya Institut Kefahaman Islam Malaysia di The Met, Mont Kiara. Kebetulan saya berada di Wisma BERNAMA, singgah sebentar ke majlis tersebut. Majlis sederhana dan hanya jemputan dalaman, tetapi meriah dihadiri ramai sahabat-sahabat, tetamu dan warga IKIM.
Walaupun datang beraya, tetapi topik perbualan tetap berat – berkisar tentang umat dan isu-isu nasional dan antarabangsa; termasuk Palestin.
Sebenarnya, banyak idea hebat terhasil menerusi sembang-sembang santai dalan pertemuan tidak formal. Saya sendiri mendapat banyak ilham dan idea penulisan menerusi perbualan dan interaksi dengan ramai orang.
Ia merendahkan hati dan mengingatkan juga – bahawa kita masih banyak kekurangan dan perlu terus belajar walau dengan sesiapa.













Terdahulu, saya hadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Tabung Haji. Semasa ucapan, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua atas kecemerlangan Tabung Haji.
Alhamdulillah, segala perancangan strategik telah nampak membuahkan hasil. Saya juga kongsikan pesanan kepada semua, di samping menyambut Hari Raya Aidilfitri, jangan lupa memperingati saudara kita yang dizalimi di Palestin dan yang memerlukan bantuan – di seluruh dunia.
Moga diberkati segala usaha dan amal.
Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! 💪
Doakan Islam terus subur mekar dan terjamin di bumi Malaysia.
🤲🇲🇾




