YB TMA Hadiri Pembukaan & Penutup Tilawah & Hafazan Al-Quran Kebangsaan 1446H/2025M

Selesai Kayuhan Aidilfitri dan Solidariti #IhsanUntukPalestin pada 26 April 2025 di Putrajaya, saya terus bergegas ke Perlis untuk acara Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQHK) Tahun 1446H/2025M. Majlis penuh tradisi ini akan diadakan pada 27 April hingga 2 Mei ini di Perlis.

Sampai di Perlis sebelum mula acara, sempat mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan sahabat-sahabat yang juga aktivis dan pimpinan masyarakat di sini. Seronok dapat berbual dan berbincang mengenai banyak perkara khususnya aspek dakwah dan hal ehwal agama.

Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQHK) Tahun 1446H/2025M oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX). Saya meneliti 3 ayat al-Quran yang dipetik oleh YAB PMX semasa ucapan perasmian.

Surah Al-Anfal Ayat 24:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اسْتَجِيْبُوْا لِلّٰهِ وَلِلرَّسُوْلِ اِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيْكُمْۚ وَاعْلَمُوْٓا اَنَّ اللّٰهَ يَحُوْلُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهٖ وَاَنَّهٗٓ اِلَيْهِ تُحْشَرُوْنَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu, dan ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.”

Surah Al-Baqarah Ayat 44:
۞ اَتَأْمُرُوْنَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ اَنْفُسَكُمْ وَاَنْتُمْ تَتْلُوْنَ الْكِتٰبَ ۗ اَفَلَا تَعْقِلُوْنَ

Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca Kitab (Taurat)? Tidakkah kamu mengerti?

Surah Al-Baqarah Ayat 45:
وَاسْتَعِيْنُوْا بِالصَّبْرِ وَالصَّلٰوةِ ۗ وَاِنَّهَا لَكَبِيْرَةٌ اِلَّا عَلَى الْخٰشِعِيْنَۙ

“Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan salat. Dan (salat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”

PMX menyebut kebijaksanaan dan hikmah ulama terdahulu dalam menyampaikan dakwah dan mencetus gerakan Islah seperti al Raniri, Wali Songo termasuk Ibnu Battuta yang menjadi Syeikhul Islam Perlak.

Tokoh hebat ini menggunakan pendekatan dakwah penuh berhikmah, damai dan rahmah menawan hati masyarakat untuk menerima Islam. Bukan dengan cara yang keras, marah-marah, memecahbelah dan mencetus kebencian.

PMX merumuskan betapa keperluan kita semua untuk ‘tafaqquh fi al-din’ dan membina kekuatan dalaman. Kekuatan dalaman itu bukan saja akidah, akhlak dan sahsiah, tetapi kekuatan keseluruhannya, keluarga dan masyarakat dari aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

Dalam konteks hari ini dengan perkembangan dunia yang serba kompleks dan mencabar seperti konflik di Palestin dan Gaza, di samping terus bersuara dan berjuang, umat Islam perlu juga menekankan aspek ‘resilience‘ antaranya yang sangat penting iaitu ‘domestic economic resilience‘.

Pada akhir ucapan, PMX mengajak semua untuk terus berusaha, berikhtiar dan ‘tafaqquh fi al-din’ ke arah penghayatan yang menyeluruh dalam semua bidang. Terus mencatat dan belajar.

Kemudian, pada 1 Mei 2025, usai hadiri Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil – saya bergegas ke Perlis untuk Program di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M.

Perlis yang hening, indah dan damai. 🌴⛰️🏞️

Selepas solat Subuh di Masjid Alwi pada 2 Mei 2025, singgah sebentar di sini. Udara yang segar – dengan suasana nyaman dan damai. Menu juga menggamit kenangan dengan pemandangan indah di tepi bendang berpagarkan bukit.

Umpama lukisan yang diillustrasikan kebanyakan murid-murid sekolah satu waktu dulu. Siap sedia untuk beberapa program hari ini sehingga ke malam, insya-Allah.

Sebelum bergerak ke program di UUM, singgah sebentar menjenguk dan menyantuni urusetia Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan yang sedang melakukan raptai Majlis Penutup.

Semua nampak penuh ketekunan dan bersemangat untuk memberikan yang terbaik. Kerjasama padu antara urusetia peringkat negeri dan JAKIM. Alhamdulillah. Diiringi doa setulusnya.

Berbesar hati merasmikan Nuran Mini Spa Incubator Hub di Masjid Sultan Badlishah, UUM. Inovasi yang baik menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai. Juga dapat menarik lebih ramai untuk datang ke Masjid.

Projek Spa Patuh Syariah ini diusahakan sendiri oleh pelajar-pelajar dan bertempat di bangunan berdekatan masjid. Khidmat gunting rambut juga ada ditawarkan di sini. Tahniah UUM. Diiringi doa setulusnya.

Kursus Imam Bilal Profesional dan Peluncuran Sijil Kemahiran Malaysia, Bidang Pengurusan Masjid anjuran UUM dan Koperasi Anak Kedah. Satu inisiatif yang sangat baik dan perlu disebarluaskan. Ramai yang hadir terdiri daripada imam dan bilal serta pelajar-pelajar.

Program Persijilan Kemahiran Malaysia, Bidang Pengurusan Masjid inisiatif Koperasi Anak Berhad, USAS dan UUM diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Selain itu, ILIM juga ada menawarkan Kursus Profesionalisme Imam.

Saya dan agensi berkaitan juga sedang merangka program Latihan Imam usahasama dengan sahabat-sahabat aktivis dakwah Muslim di Amerika Syarikat, insya-Allah. Syabas dan tahniah kepada semua peserta yang menerima sijil dengan jayanya.

Suasana subuh di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Indah, tenang dan damai. Syukur, alhamdulillah. Usai solat subuh, ajak pasukan saya bersarapan pagi di Dusun Nakawan.

Cantik dan menarik pemandangan di Dusun Nakawan di pinggir bukit, dikelilingi pelbagai pokok buah-buahan. Suasana begitu nyaman setelah hujan lebat semalam. Menu ubi kayu rebus cicah nyior memang menggamit kenangan semasa kecil, yop. 👍

Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M. Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah. Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi mewakili Terengganu muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025/1445H.

Kedah dinobatkan sebagai juara keseluruhan sementara bagi kategori hafazan 30 juzuk berserta tafsir, Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Perak; dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dari Kelantan diumumkan sebagai pemenang masing-masing bagi bahagian lelaki dan perempuan.

Selain itu, Muhammad Imran Hussin dari Selangor meraih tempat pertama untuk kategori hafazan 20 juzuk bagi bahagian lelaki manakala bahagian perempuan disandang Siti Khadijah Anuar dari Selangor.

Bagi kategori hafazan 10 juzuk berserta taranum pula, johan menjadi milik Mohamad Khayruddin Zakwan Jaimis dari Sabah bagi bahagian lelaki manakala Shashahani Irdina Shamsul Rizal dari Selangor mengungguli bahagian perempuan.

Kontinjen Kedah, Selangor, Perak, Kelantan, Terengganu nampak begitu menyerlah di Majlis Tilawah dan Hafazan kali ini. Namun, semua peserta yang lain juga memang hebat-hebat belaka.

Tahniah kepada JAKIM, Kerajaan Negeri Perlis dan semua agensi terlibat! Moga diberkati segala usaha dan amal.

Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! 💪

Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.

🤲🇲🇾

#MadaniBerkerja
#MadaniMembantu
#SebarkanSalam #KitaKawan

SUBSCRIBE

Get the latest posts delivered to your mailbox:

Page Reader Press Enter to Read Page Content Out Loud Press Enter to Pause or Restart Reading Page Content Out Loud Press Enter to Stop Reading Page Content Out Loud Screen Reader Support