
Digitalisasi Kuatkan Keadilan Perundangan Syariah – YB TMA
October 14, 2025
Arah Baharu Media Islam: Sinergi Ilmiah, Strategi Digital – YB TMA
October 15, 2025
































Alhamdulillah, pada 12 Oktober 2025, saya menyambut kepulangan 9 orang sukarelawan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) di KLIA.
Turut hadir YB Dato’ Seri Dr. Dr Wan Azizah Wan Ismail; YB Puan Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan); Sdra. Ahmad Fahmi Mohamad Samsuddin (Presiden Aangkatan Belia Islam Malaysia – ABIM); Puan Nurul Izzah Anwar (Penasihat NGO Malaysian Humanitarian Aid And Relief – MAHAR); dan Sdra. Jismi Johari (Presiden MAHAR).
Syukur alhamdulillah, semua sukarelawan berada dalam keadaan yang baik dan sihat walaupun nampak penat melalui perjalanan yang panjang setelah diculik di perairan antarabangsa dan ditahan di penjara Ketziot, Israel.
Perjuangan belum selesai dan masih panjang. Rakyat Gaza masih belum bebas dan Palestin masih dijajah. Bak kata sahabat saya, Prof. Afandi Salleh (telah ditahan dua kali oleh tentera rejim) dalam ucapan semasa sidang media dengan penuh rendah diri – “Kami bukanlah ‘hero’ tetapi hanyalah peserta misi kemanusiaan yang meneruskan usaha-usaha sedayanya memperjuangkan Palestin”.
Semua nampak bersemangat dan bersedia untuk meneruskan perjuangan. Ramai sahabat-sahabat, ahli keluarga termasuk orang ramai yang hadir di KLIA.

































Terdahulu, pada 7 Oktober 2025, saya dan pasukan juga berkesempatan menyambut 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin. Mereka tampil di KLIA1, selepas usaha YAB Perdana Menteri (PMX) dan pelbagai pihak bagi memastikan mereka selamat tiba.
Sewaktu di KLIA1 itu, saya menjadi watak kecil dalam kalangan para pejuang yang berjiwa besar. Yang mempertaruhkan segala risiko atas nama solidariti buat saudara kita di Gaza. Suasana bercampur baur – sorakan padu penuh semangat, disulami rasa sebak dan terharu.
Kumpulan aktivis itu yang dibebaskan selepas ditahan tentera Israel mendarat di tanah air, sebelum mula keluar di Balai Ketibaan – dalam keadaan penuh sesak dengan kehadiran pengamal media dan orang ramai.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Republik Turkiye atas bantuan diberikan termasuk negara-negara sahabat atas kerjasama diplomasi yang dihulurkan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan Kerajaan Madani, atas usaha cekap dan efisyen menyelamatkan kesemua sukarelawan Sumud Nusantara, FFC dan TMTG.
Mengajak semua untuk bersama-sama meneruskan usaha memperjuangkan isu Palestin sehingga ke akhirnya. Terkenang sewaktu saya menjejakkan kaki ke bumi Gaza yang diberkati Allah Subhanahu wa-Ta’ala beberapa tahun lepas. Moga ada rezeki untuk kembali.
























Sebelum itu, pada 7 Oktober 2025, sewaktu 23 sukarelawan Sumud Nusantara dalam perjalanan pulang dari Turkiye ke KLIA – dan 9 orang aktivis FReedom Flotilla Coalition masih berjuang di lautan; saya luangkan masa sebentar melawat ke Bilik Operasi Freedom Flotilla Coalition (FFC) di ibu pejabat MyCARE di Seri Kembangan. Turut hadir Prof. Dato’ Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE yang lain.
YB Senator Dr. Jufitri Joha; Prof. Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil (Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia); Prof. Haji Badlishah Sham Baharin (Presiden IKRAM); Sdra. Ahmad Fahmi Mohamad Samsuddin (Presiden Aangkatan Belia Islam Malaysia – ABIM); Puan Nurul Izzah Anwar (Penasihat NGO Malaysian Humanitarian Aid And Relief – MAHAR); Sdra. Jismi Johari (Presiden MAHAR); Sdra. Nathaniel Tan dan sahabat-sahabat lain turut sama memberikan sokongan.
Tidak disangka kami disambut dengan meriah serta ramai juga media yang hadir. Kami diberikan taklimat oleh Hj. Kamarul Zaman Shaharul Anwar, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE mengenai perkembangan terkini misi Freedom Flotilla Coalition. Kemudian kami adakan perbincangan dan dialog mengenai perancangan dan strategi akan datang.
Saya melihat sendiri Command Centre atau Bilik Operasi FFC yang beroperasi 24 jam sejak ia diaktifkan. Dapat bersiaran langsung dengan semua 9 sukarelawan Malaysia di atas kapal. Alhamdulillah, semua nampak sihat dan bersemangat.
Global Sumud Flotilla melibatkan 497 sukarelawan dari 47 negara dengan 50 buah kapal. FFC pula kali ini membawa 150 sukarelawan dari 26 buah negara majoritinya doktor perubatan dan jurnalis.









Pada 10 Oktober 2025, sebelum ke Parlimen untuk mendengar Pembentangan Belanjawan 2026, saya singgah sebentar di UIAM, Gombak untuk Solat Jumaat.
Mendapat jemputan IIUM Student Union untuk solidariti Palestin selepas Solat Jumaat. Alhamdulillah, ramai warga UIAM yang hadir menzahirkan solidariti Palestin. Saya dijemput untuk menyampaikan ucapan ringkas. Sudah lama tidak berucap penuh perasaan dan penuh semangat sebegini.
Sempat juga singgah di pejabat lama saya di UIAM bertemu sahabat-sahabat. Masih ada gambar saya antara 10 Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) UIAM sejak penubuhannya.















Alhamdulillah, saya tampil dalam beberapa sesi Live TikTok bersama dua sahabat baik saya – Sdra. Ahmad Musa Al-Nuwayri dan Prof. Afandi Salleh, aktivis Palestin yang ketika itu sedang menyertai misi kemanusiaan yang mencabar bersama Global Sumud Flotilla (GSF). Kagum dengan semangat mereka dan aktivis-aktivis Sumud Nusantara dan Freedom Flotilla lain yang tak pernah padam.















Pada 2 Oktober 2025, saya bersiaran langsung di TVAlhijrah, di mana saya mengulas mengenai misi Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition. Saya tekankan jenayah kemanusiaan rejim Israel serta kebangkitan gerakan global masyarakat sivil memperjuangkan Palestin.
Saya tegaskan bahawa Kerajaan Madani dan negara Malaysia konsisten menyokong Palestin, dengan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) menaungi misi Flotilla Sumud Nusantara. Malahan, PMX mengumumkan kerajaan meluluskan tambahan dana RM100 juta khusus untuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza sewaktu himpunan di Dataran Merdeka.
Disertai oleh 44 negara, misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla melibatkan lebih 1,000 aktivis menaiki hampir 70 buah bot. Saya juga mengupas gelombang ketiga flotilla kemanusiaan FFC dan TMTG yang tampil menyusul dengan penyertaan aktivis dari lebih 20 negara, termasuk delegasi besar Malaysia, yang turut menuju Gaza membawa ubat-ubatan, makanan bayi, serta disertai doktor dan wartawan antarabangsa.
Saya juga mengambil peluang untuk menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengenepikan perbezaan politik kepartian, dan fokus untuk menyebarkan kesedaran tentang isu Gaza, selain mendoakan kesejahteraan saudara kita di sana.








Pada 9 Oktober 2025, saya bersiaran langsung di Zayan sebelum ke Parlimen untuk bertugas. Terima kasih sahabat saya – orang kuat Zayan, Astro dan Munsyid, Sdra. Wan Syahrul Amry; DJ Faizal Ismail (FBI); DJ Nana Mahazan dan semua.
Saya kongsikan bahawa perjuangan para aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition bukan sekadar misi biasa. Ia adalah gabungan suara dunia menuntut keadilan buat rakyat di Gaza.
Saya juga tegaskan bahawa tindakan dangkal pihak tertentu memperlekeh misi Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition ke Gaza sangat tidak wajar, kerana misi berkenaan berjaya membuka mata dunia mengenai jenayah kemanusiaan dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Dengan semangat #IhsanUntukPalestin, misi ini adalah usaha masyarakat awam antarabangsa untuk membuka kepungan pihak rejim, selepas pelbagai usaha kemanusiaan lain gagal dilaksanakan sebelum ini.












Pada 23 September 2025, saya bersiaran di IKIMfm – menerima undangan untuk berkongsi pengalaman dan perkembangan berkenaan Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, di mana saya mengiringi delegasi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) baru-baru ini. Bersama penyampai radio terkenal IKIMfm iaitu Tyzo, Muhsin dan Yati.
Banyak yang ingin dikongsikan. Lebih kurang 1 jam ke udara menganalisis dan mengetengahkan peranan Malaysia yang tersendiri memperjuangkan isu Palestin.
Ada ramai yang mengkritik termasuk mempersenda usaha yang dilakukan – walaupun mereka sendiri tidak berbuat apa-apa. Kita tidak boleh layan perkara remeh temeh dan perlu terus fokus berusaha sedayanya.
Kita jangan pernah berdiam! Teruskan bersuara! ✊🇲🇾🇵🇸 Ketepikanlah perbezaan kita, ambil ruang untuk bersatu hati demi saudara kita di Gaza.
Dengan semangat #IhsanUntukPalestin, jangan berhenti berdoa dan Solat Hajat buat mereka yang dizalimi. Diiringi doa setulusnya. 🤲🇲🇾🇵🇸 Hasbunallahu wa ni’mal wakīl, ni’mal mawlā wa ni’mal naṣīr.





