












Alhamdulillah, pertemuan diadakan di pejabat saya bagi membincangkan usaha menggerakkan naratif-advokasi dan inisiatif berkaitan isu Palestin dengan semangat #IhsanUntukPalestin. Saya kongsikan mengenai situasi masyarakat yang terlalu banyak dibobrokkan dengan perkara tidak bermanfaat, menghasut dan mencetuskan pertikaian yang akhirnya menggugat persaudaraan dan perpaduan.
Adalah lebih baik kita memperbanyakkan usaha mempersibukkan masyarakat dengan inisiatif yang mempertautkan persaudaraan sesama saudara seIslam dan saudara setanah air. Isu Palestin merupakan asas yang kuat untuk kita semua bersatu padu mempertautkan hati sesama kita.
Semua bersetuju dan bersatu hati mengenai Palestin, walaupun berlainan ideologi politik, manhaj, aliran dan pemikiran. Dengan semangat #IhsanUntukPalestin, insya-Allah, kami akan menggerakkan usaha-usaha sebaiknya bagi membantu saudara kita di Palestin.








Turut terima kunjungan beberapa pegawai daripada Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Tanjung Malim. Bincang program lanjutan bersama pelajar Tahfiz dan warga Orang Asli di sekitar PSAS, berhampiran kampung asal saya – di FELDA Sungai Behrang.
Sebelum tetamu pulang, saya kongsikan buah tangan daripada pejabat saya – iaitu buku terbaharu tulisan saya, dan kopiah Malaysia Madani. Kopiah ini turut saya edarkan sewaktu beberapa program di beberapa buah masjid dan institusi sebelum ini. Semoga semua lebih bersemangat untuk gerak kerja komuniti, insya-Allah.





















Terdahulu, dengan semangat #IhsanUntukPalestin, saya menyampaikan Ucaptama dan merasmikan Majlis Penutup Sidang Meja Bulat: “Towards a Sustainable Peace in Gaza” anjuran IAIS Malaysia dan Akademi Profesor Malaysia (APM). Sesi Meja Bulat kali ini yang dihadiri oleh profesor-profesor dan pimpinan Badan Masyarakat Madani (CSO) mengisytiharkan Resolusi Khas Gaza dan akan dijadikan sebagai Policy Brief untuk rujukan kerajaan dan umum. Tahniah IAIS Malaysia dan APM!




































Saya turut serta dalam Kayuhan Aidilfitri dan Solidariti Palestin #IhsanUntukPalestin di Putrajaya, bertemakan basikal klasik. Terima kasih Geng Surau Putrajaya, Persatuan Basikal Klasik Malaysia, YADIM, Masjid Mahmoodiah serta semua pihak atas penganjuran program kayuhan kali ini.
Begitu meriah dan ceria dengan peserta segak berbusana, berbaju Melayu dan berbaju kurung serta kebaya. Ada juga kawan-kawan bukan Muslim yang hadir turut serta, saya sangat hargai. Kayuhan dari Masjid Mahmoodiah ke Masjid Putra, Putrajaya ini juga menunjukkan solidariti kepada saudara kita di Palestin.
Sudah lama tidak mengayuh basikal tua. Ia mengingatkan memori dan kenangan semasa kecil. Basikal tua merupakan kenderaan awal ayahanda saya pergi menoreh getah – semasa saya kecil. Mesti ada yang ingat pengalaman bagaimana belajar naik basikal menggunakan basikal tua. Terkadang tempat duduk tidak sampai kerana tinggi, maka hanya mencelah di antara palang basikal!
Insya-Allah, seperti sebelum ini, kami akan meneruskan Solat Hajat Perdana Untuk Palestin – #SolatHajatGaza di seluruh Malaysia, pada 1 Mei 2025 – Malam Jumaat ini. Jom sertai kami, atau boleh lakukan di mana sahaja anda berada – baik di rumah mahupun surau berdekatan. Yang penting, kita tunaikan Solat Hajat tanda solidariti buat saudara kita di Gaza.











Selanjutnya, Usrah Madani Siri 8.0 berlangsung dengan cemerlang, kali ini dengan tajuk “The Future of Palestine“. Kupasan dan analisis yang sangat baik oleh sahabat saya, Prof. Mustapha Syeikh dan Prof. Salman Sayyid dari Leeds University, United Kingdom. Pemudahcara, Prof. Madya Dr Norfadhilah mengendalikan wacana dengan begitu baik.
Prof. Mustapha membuka sesi dengan mengupas konsep “Palestinian Culture of Sumud or Resistence” dan mengaitkannya dengan masa depan Palestin. Manakala Prof. Salman pula membicarakan terus masa depan Palestin dan memberikan pandangan apa yang langkah perlu dilakukan.
Beliau yakin bahawa masa depan Palestin adalah cerah. Menarik kerana Prof. Salman merumuskan bahawa “the future of Palestine is our future“. Beliau berpandangan bahawa sekiranya genosid, penghapusan etnik dan apartheid ini dinormalisasi dan direstui dunia seperti dalam kes Palestin ini, maka ia pasti akan merebak umpama wabak dan boleh berlaku di mana-mana.
Islamophobia juga bakal dinormalisasikan dan apa-apa jenayah kemanusiaan berkaitan dengannya akan dijustifikasikan. Ini mengingatkan saya kata-kata Pelapor Khas PBB mengenai Palestin, Francesca Albanese: “… if it is not forced to stop, Israel’s genocide of Palestinians will not be confined to Gaza“.
Wacana berjalan begitu baik dan interaktif. Pelbagai soalan dan pandangan dilontarkan oleh peserta-peserta yang hadir. Alhamdulillah, dewan tetap penuh walaupun wacana ini diadakan selepas solat Jumaat. Terima kasih Islamic Science Institute dan FKP USIM serta semua pihak atas penganjuran Usrah Madani Siri 8.0 kali ini.
Madani terus bekerja. Fastabiqul khairat! 💪
Doakan Islam terus subur, mekar dan terjamin di bumi Malaysia.
🤲🇲🇾🇵🇸




